
MASJID TANAH: Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini yang bakal disambut masyarakat keturunan Cina pada esok hari adalah masa yang sesuai untuk menjadi asas mengeratkan perpaduan kaum di negara ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata, itulah keindahan masyarakat Malaysia ini yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama.
“Kita dapat saling mengenal dan memahami. Jika kita saling menghormati maka kita akan dapat mengelakkan daripada berlakunya perselisihan yang boleh menggugat keamanan,” katanya kepada HarakahDaily.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah berkata demikian usai program ‘Edaran Limau Mandarin sempena Tahun Baru Cina’ di Kampung Baharu Paya Mengkuang, Kuala Linggi, di sini.
Kata beliau, kaum-kaum lain turut boleh memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina ini dengan ucapan-ucapan dan pemberian yang sesuai kepada kenalan berketurunan Cina.
“Hari ini kami dari Perikatan Nasional Masjid Tanah mengedarkan limau Mandarin buat masyarakat Cina di Paya Mengkuang ini sebagai tanda persahabatan.
“Limau ini sebahagian besarnya adalah sumbangan dari Ahli Parlimen kita, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang tidak dapat bersama-sama kerana ada urusan rasmi,” ujarnya.
Tambah beliau, walau pun tanpa peruntukan kerajaan, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu tetap berusaha untuk meraikan kaum Cina yang berada di dalam kawasan itu walaupun sekadar edaran buah limau Mandarin.
Program anjuran Lajnah Perpaduan Kaum PAS Masjid Tanah dengan kerjasama Perikatan Nasional Masjid Tanah itu turut disertai oleh Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Azmi Sambul; Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Atan Mohamad; serta pimpinan PAS dan Bersatu tempatan.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum PAS Kawasan Masjid Tanah, Adam Baba berkata, program itu adalah rutin bagi lajnah beliau setiap kali menjelang Tahun Baru Cina.
“Hari ini pun di beberapa tempat di Melaka turut dijalankan program yang sama. Ini dijalankan sekian lama oleh Lajnah Perpaduan Nasional.
“Kami berharap agar ia dapat menjadi kebersamaan kita dalam meraikan kegembiraan rakan-rakan kita dari masyarakat Cina,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024




















