
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Nushi Mahfodz, menerima aduan orang awam bahawa terdapat buku yang bercanggah dengan ajaran Islam terdapat di rak sorotan MPH Bookstores (MPH).
Isi kandungan buku berjudul, The (nearly) Teenage Girl’s Guide to (almost) Everything – How to Stay Healthy and Happy in Adolescene itu secara terang-terangan mengajak anak muda ke arah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Apa tindakan yang boleh dilakukan kerajaan di dalam membendung kesan daripada buku ini sekiranya ia tersebar dan dibaca oleh remaja di Malaysia? Ada peruntukan undang-undang yang boleh diambil kerajaan di dalam hal ini.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) menurut seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kawalan meliputi aspek berkaitan bahan yang memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, kemoralan, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang, memudaratkan kepentingan awam dan kepentingan negara.
“Perkara-perkara yang dilarang di bawah garis panduan berkenaan termasuk isi kandungan yang menyentuh sensitiviti keagamaan, penggunaan bahasa yang lucah, kasar dan kesat, serta sebarang bentuk karya atau nukilan yang secara jelas atau kiasan mengenai perlakuan seks,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Nushi, isi kandungan buku itu juga turut menganjurkan cara hidup bebas di luar batasan agama dan peradaban masyarakat seperti memaparkan cerita-cerita bersekedudukan, penzinaan, homoseksual, dan sumbang mahram.
“Menurut Seksyen 8 dan sub-seksyen 2 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, adalah menjadi kesalahan untuk mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengedar atau memiliki penerbitan larangan dan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan.
“Mereka yang didapati bersalah oleh mahkamah boleh dipenjara tidak lebih daripada tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Katanya lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga mengeluarkan garis panduan khusus untuk menapis propaganda dan dakyah yang bertentangan dengan nilai Islam.
Sehubungan itu, kebebasan bersuara dan berpendapat tidak seharusnya dibiarkan tanpa batas sehingga merosakkan ketenteraman awam, moraliti dan membawa penistaan kepada agama.
“”Penting untuk kita amati ucapan yang disandarkan kepada Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali. Agama dan Sultan atau pemerintah ibarat kembar. Maka agama adalah asas dan pemerintah adalah penjaga.
“Apa-apa yang tiada asas, pasti akan runtuh dan setiap yang tidak berpenjaga pasti akan luput. Ungkapan tersebut menggambarkan peri penting kuasa politik dalam menjaga maslahat Islam dan umatnya.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan khususnya dan seluruh umat Islam umumnya untuk kita berganding bahu menutup pintu-pintu kerosakan.
“Kerajaan bertindak dalam peruntukan undang-undang manakala rakyat bergerak dalam rangka dakwah amar makruf nahi munkar yang saling sama melengkapi bagi menjaga ummah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024




















