
UNITED KINGDOM: Beberapa negara di seluruh Eropah, Afrika, Asia dan Amerika Latin telah berdaftar untuk terbabit dengan agenda ‘hari tindakan’ global yang akan menyaksikan perarakan berlangsung pada hari Sabtu (13 Jan) ini bagai meneruskan tuntutan Israel menamatkan serangan berdarahnya ke atas Semenanjung Gaza yang terkepung.
Kumpulan advokasi yang berpangkalan di United Kingdom yang menganjurkan inisiatif itu berkata perarakan yang akan berlangsung pada 13 Januari, pada hari ke-99 serangan Israel ke atas Gaza itu berusaha untuk menggerakkan orang ramai bagi menuntut gencatan senjata kekal dan menamatkan serangan Israel ke atas wilayah yang diperangi.
Perarakan dirancang merangkumi berpuluh-puluh bandar dari pelbagai negara termasuk UK, Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman, Switzerland, Denmark, Afrika Selatan, Nigeria, Ghana, Jepun, Indonesia, Korea Selatan, Australia, Brazil, Jordan, Turkiye dan beberapa lagi.
Forum Palestin di Britain, salah satu daripada beberapa kumpulan British yang menganjurkan kempen itu berkata, peningkatan bilangan bandar yang menyertai tindakan global itu ‘mencerminkan komitmen bersama untuk menamatkan keganasan di Gaza’.
“Bersama-sama, kami bersatu dalam kempen #GazaGlobalAction, menghantar mesej yang jelas bahawa dunia menuntut perubahan, keadilan, dan masa depan yang bebas daripada keganasan,” ujar wakil pertubuhan tersebut dalam satu kenyataaan.

Tambahnya, ‘realiti suram’ di Gaza pada ketika ‘menegaskan keperluan mendesak untuk perhatian antarabangsa, bantuan kemanusiaan, dan usaha bersepadu ke arah mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan kepada konflik itu’.
Demonstrasi yang dirancang itu akan dilaksanakan sehari sebelum hari ke-100 serangan Israel di Gaza, yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya empat peratus penduduk Gaza sama ada terbunuh, hilang atau cedera.
Kumpulan lain di Britain yang menganjurkan protes terhadap Genosid Gaza oleh Zionis itu termasuklah Friends of Al Aqsa (FOA), Persatuan Muslim Britain, Stop the War Coalition, Palestine Solidarity Campaign (PSC) dan Campaign for Nuclear Disarmament.
Kumpulan yang sama menerajui protes perang anti-Iraq pada 15 Februari 2003 yang berlaku di lebih 600 bandar dan menarik berjuta-juta penunjuk perasaan.

Seruan untuk menyertai hari tindakan global telah dikongsi secara meluas di media sosial menggunakan hashtag #CeasefireNow #EndTheSiege dan #FreePalestine.
Pengerusi FOA, Ismael Patel berkata protes 13 Januari itu bertujuan antara lain adalah untuk ‘memperkasakan masyarakat antarabangsa untuk mencabar sekutu Israel’.
“Hari tindakan global itu berharap dapat menyerlahkan kecaman seluruh dunia terhadap pengeboman dan pengepungan berterusan Israel ke atas Gaza, yang meragut kira-kira 300 nyawa rakyat Palestin setiap hari, pembersihan etnik yang berterusan di Tebing Barat, diskriminasi dan penghinaan terhadap rakyat Palestin oleh Pemimpin Israel, dan serangan provokatif Israel yang menyasarkan Syria dan Lubnan,” kata Patel.
Protes yang dirancang itu berlaku di tengah-tengah kekurangan kemajuan dalam mencapai perjanjian gencatan senjata atau mencari konsensus antarabangsa untuk menamatkan perang.

AS, sekutu setia Israel, telah memveto dua resolusi Majlis Keselamatan PBB sejak 7 Okt lalu yang menggesa gencatan senjata.
Sementara itu, rundingan tidak langsung antara Hamas dan Israel telah menemui jalan buntu dengan gerakan Palestin menuntut gencatan senjata kekal dan Israel hanya menawarkan jeda sementara.
Dalam usaha terakhir, Afrika Selatan pada Disember lalu memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menuduhnya melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam perang berterusannya ke atas Gaza.
Cape Town meminta mahkamah mengeluarkan injunksi sementara menyeru Israel menghentikan operasi ketenteraannya di kawasan yang dikepung itu.

Perbicaraan itu dijadualkan pada 11 dan 12 Januari ini, sehari sebelum protes global 13 Januari yang dirancang itu.
Sehingga kini, lebih 23,000 rakyat Palestin telah terbunuh, 59,000 cedera dan lebih 7,000 hilang – dipercayai mati dan tertimbus di bawah runtuhan.
Serangan Israel telah memusnahkan Gaza dan mendorongnya ke ambang bencana kemanusiaan, dengan penduduk menghadapi perpindahan, penyakit dan risiko kebuluran. – HARAKAHDAILY 9/1/2024




















