Pilihan raya PBT: DAP tak pernah diam

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP tidak pernah berhenti memperjuangkan agendanya, sejak dari dulu hingga sekarang, parti ini  konsisten untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bagi merealisasikan agenda mereka menguasai bandar-bandar besar yang mempunyai pendapatan besar dan  pusat ekonomi rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian susulan cadangan   Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diadakan di ibu negara.  

- Advertisement -

“Kita perlu tahu, jika pilihan raya PBT diadakan, ia membuka ruang kepada berlakunya polarisasi kaum yang lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar. 

“Ia bukan hanya melibatkan penguasaan terhadap hasil-hasil ekonomi sesebuah bandar yang tidak seimbang, malahan juga kuasa politik Melayu-Islam akan terhakis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, keputusan kerajaan semenjak 50 tahun dahulu yang memansuhkan pilihanraya PBT ini sepertimana jelas termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 amatlah tepat. 

“Ia antara lain bertujuan untuk menghindari penguasaan Kerajaan Tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.

“Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan YB Menteri Wilayah (Dr Zaliha Mustafa)  yang membuka laluan perbincangan untuk melaksanakan Pilihan raya PBT di Kuala Lumpur. 

“Sepatutnya perkara ini tidak perlu diberi perhatian oleh beliau dan agenda kesejahteraan rakyat bandar patut menjadi fokus utama beliau,” tegasnya.

Tambahnya, kenyataan Menteri Wilayah ini seolah-olah menunjukkan kerajaan MADANI tunduk dengan desakan DAP. 

“Perdana Menteri,  Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim harus menghentikan agenda ini jika mahu rakyat melihat bahawa Kerajaan Madani tidak ditekan oleh DAP. 

“Kita tidak boleh bertolak ansur dalam agenda seperti ini kerana bimbang bila kita terlalu baik bertolak ansur, lama-lama kita ditolak beransur-ansur,” katanya.  HARAKAHDAILY 21/12/2023

- Advertisement -