
KUALA LUMPUR: Palestin berterusan menerima sokongan padu masyarakat antarabangsa termasuk perhatian besar daripada universiti-universiti di seluruh dunia yang berminat mewujudkan institusi pengajian atau penyelidikan khusus berkenaannya.
Pengasas Projek Kemanusiaan dan Kebudayaan Global Baitulmaqdis, Prof Dr Abdul Fattah El-Awaisi menjadi antara individu penting ke arah usaha tersebut, malah menjadi panel penting dalam menyampaikan topik dan perbincangan berkaitan.
Universitas Djuanda di Bogor, Indonesia antara yang menyerlahkan intervensi tersebut apabila pada Persidangan Antarabangsa Ke-7 institusi itu telah menganjurkan aktiviti akademik berfokus mengenai Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan Gaza, minggu lalu.
Program selama seminggu itu dipenuhi dengan kuliah, perbincangan dan pertemuan termasuk bersama pempengaruh media sosial negara tersebut dengan kemuncaknya persidangan mengenai Pengajian Islamicjerusalem.
Tujuh universiti iaitu masing-masing satu dari Indonesia dan United Kingdom, tiga dari Turkiye dan dua dari Malaysia telah menandatangani protokol kerjasama mewujudkan Forum Akademik Intelektual Antarabangsa Pengajian Islamicjerusalem.
Prof Dr Abdul Fattah antara tetamu penting yang telah menyampaikan syarahan bertajuk ‘Taufan Al-Aqsa dan Kewajipan Umat Islam’ di mana turut gembira untuk Universitas Djuanda menjadi Pusat Pengajian Islamicjerusalem di negara itu.
Cansellor Universitas Djuanda, Prof Dr H Martin Roestamy malah turut menyatakan komitmen pihaknya untuk mendukung perjuangan kebebasan Baitulmaqdis khusus menerusi cabang pendidikan.
Delegasi mewakili Malaysia ialah Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor dari Universiti Malaya dan Prof Madya Dr Aminurraasyid Yatiban dari Universiti Utara Malaysia. – HARAKAHDAILY 20/12/2023











