
KUALA LUMPUR: Idea melaksanakan Pilihan Raya PBT bukan sahaja tidak rasional, malah dikhuatiri mampu menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.
Ketua Penerangan PAS Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pilihan raya PBT bakal mewujudkan penguasaan kaum tertentu (yang menguasai kawasan bandar) dalam kerajaan tempatan, yang dibimbangi akan mewujudkan ketidakadilan kepada kaum-kaum lain.
“PAS Negeri Perlis memandang serius cadangan yang dibangkitkan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai baru-baru ini.
“Ia tampak indah pada zahirnya tetapi bakal mengundang lebih banyak keburukan yang merugikan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Perlis menegaskan, atas alasan menegakkan demokrasi dan urus tadbir yang lebih baik, cadangan berkenaan sebenarnya sarat dengan agenda tersirat yang sekian lama diperjuangkan oleh DAP.
“Idea pilihan raya PBT hanya menambah parah lagi ‘kerancakan berpolitik’ yang timbul akibat perbezaan fahaman politik yang sekian lama mengheret serta merugikan rakyat serta menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan,” hujahnya.
Justeru, ujar beliau, alasan ‘urus tadbir berkesan’ yang menjadi modal DAP sebenarnya hanyalah helah mereka untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat agenda sebenar iaitu untuk merungkai satu demi satu tonggak ketuanan Melayu-Islam di negara ini.
“PAS Perlis sehubungan itu, menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama membantah cadangan ini yang tampak indah pada zahirnya tetapi bakal mengundang lebih banyak keburukan yang merugikan rakyat dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/12/2023




















