
ENGLAND: Polis Metropolitan sedang melakukan siasatan selepas seorang penyokong Chelsea ‘menyerang’ dan bertelagah dengan penjaga gol Newcastle United, Martin Dubravka.
Insiden yang disifatkan pihak polis sebagai ‘berbahaya’ itu berlaku ketika Chelsea meraikan kemenangan suku akhir Piala Carabao Chelsea di Stamford Bridge pada Selasa, waktu tempatan.
Penyokong Chelsea itu muncul dari bahagian tempat duduk penonton Chelsea, berlari ke padang untuk meraikannya di hadapan Dubravka, menerkam penjaga gol itu yang sebalik tidak bertindak balas tanpa sebarang respons, lapor Independent.co.uk.
Insiden itu berlaku sejurus selepas Mykhailo Mudryk menyamakan kedudukan untuk Chelsea pada masa tambahan pada penghujung 90 minit.
Golnya memaksa penentuan sepakan penalti, yang kemudiannya dimenangi Chelsea untuk mara ke separuh akhir.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe berkata selepas perlawanan: “Saya selalu mengatakan bahawa keselamatan pemain, jurulatih, pengurus, pengadil, penjaga garisan itulah keutamaan dalam mana-mana perlawanan bola sepak.
“Jadi lebih banyak yang perlu dilakukan untuk menjauhkan penyokong terutamanya yang marah dari padang.”
Rakan sejawat Howe di Chelsea, Mauricio Pochettino, menambah: “Kami perlu berhati-hati. Peminat perlu berhati-hati dengan perkara seperti ini kerana ia adalah perkara yang boleh membahayakan pemain.
“Saya kecewa. Saya tidak bersetuju dengan perkara seperti ini yang berlaku di sini di Stamford Bridge dan di stadium lain di England atau di seluruh dunia. Ia sentiasa mengecewakan dengan perkara jenis ini kerana ia berbahaya.” – HARAKAHDAILY 20/12/2023




















