
SANDAKAN: “Jika bukan kerana guruku, mana mungkin aku dapat mengenal akan Tuhanku,” kata Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah.
Kata beliau, mulianya para guru bukan kerana batang tubuhnya sahaja, tetapi nilai keikhlasan yang ada dalam diri mereka untuk menyantuni insan melalui jihad pendidikan.
“Jika kita melihat saudara kita di Palestin, anak-anak mereka begitu kuat imannya, bukan sekadar kerana didikan ibu bapa mereka, tetapi juga kerana didikan gurunya yang begitu bersungguh dalam menyampaikan ilmu kepada anak didiknya sehingga kita melihat apapun ujian yang menimpa mereka, mereka mampu bangkit dan tetap sandarkan keyakinan kepada Allah, itulah hasil didikan seorang guru.
“Guru-guru jangan pernah merasa kecewa jika nama tidak didendang, kerana apa yang pasti mereka tetap tinggi darjatnya di sisi Allah dan pahala mencurah-curah,” ujarnya sewaktu merasmikan Majlis Penutup Kem Sahsiah Guru (KSG) SRITI dan PASTI Negeri Sabah di Scout Nature Park, semalam.
Menurutnya, KSG adalah sebahagian daripada program wajib bagi para guru yang mengambil Diploma Pendidikan Kanak-Kanak sebelum layak menamatkan pengajian.
Katanya, seramai 209 orang peserta KSG pada kali ini yang terdiri daripada 11 muslimin dan 198 muslimat. – HARAKAHDAILY 20/12/2023











