
KUALA TERENGGANU: Kebiadapan dan kekejaman rejim zionis Israel melepasi undang-undang perang antarabangsa dan batas kemanusiaan, tegas Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.
Beliau berkata, mereka menyerang sesiapa sahaja yang berpotensi menerangkan kebenaran dan menutup kezaliman kepada dunia luar.
Kata beliau serangan membabi buta itu juga bertujuan memadamkan kebenaran dan semangat keberanian dalam perjuangan termasuk wartawan yang menentang zionis Israel.
Beliau berkata demikian susulan serangan udara Israel secara rambang ke atas orang awam di Gaza yang turut mengorbankan barisan hadapan.
Pada Ahad lalu, Media Gaza melaporkan, wartawan Palestin Haneen Al Qasthan terbunuh bersama keluarganya dalam serangan udara Israel di kediaman mereka di kem pengungsian Al Nuseirat di Semenanjung Gaza.
Pernyataan itu menyebutkan bahawa jumlah wartawan yang terkorban dalam serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober hingga kini mencapai 95 orang.
Justeru, Mumtaz menegaskan dunia antarabangsa wajib sepakat secara konsisten mengecam rejim zionis Israel.
“Jadikan berita dan peristiwa agenda kebenaran Palestin dan kekejaman zionis sebagai berita utama yang sama sekali tidak boleh diketepikan.
“Rakan media jangan sesaat pun melupakan dan merugikan kematian serta pengorbanan mulia para wartawan ini dan keluarga mereka.
“Hak dan keadilan tidak boleh mati dengan matinya mereka,” tegasnya.
Beliau berkata dunia perlu sentiasa memantau ketegangan dan kematian akibat serangan zionis agar ianya dapat dihentikan sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2023











