Pilihan raya PBT: Adakah sampah jadi keutamaan DAP?

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Siapakah yang bertanggungjawab memberikan lesen judi, lesen pusat urut, lesen penjualan arak, melarang operasi sekolah persendirian dan macam-macam lagi di sesebuah bandar?

- Advertisement -

“Itulah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan isu-isu yang disenaraikan ini berlaku di kawasan PBT yang dikuasai DAP,” kata Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar.

Menurutnya, sudah tentu niat DAP bukanlah mahu memberikan perkhidmatan kutip sampah terbaik kepada rakyat.

Hakikatnya, kata beliau DAP hanya mahu menguasai aktiviti bandar dengan kuasa yang legit.

Tambahnya, pilihan raya PBT merupakan proses yang akan memberi keabsahan terhadap perancangan mereka itu.

Katanya, pelaksanaan pilihan raya PBT akan memakan kos yang sangat besar.

“Tidak puaskah DAP berpolitik dengan pilihan raya yang ada? Jangan heret rakyat ke dalam politik yang tidak berkesudahan ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Bukan itu sahaja, katanya perpecahan kaum juga akan semakin meruncing.

Menurutnya, kaum Cina yang mendominasi kawasan bandar akan memilih ahli majlis daripada kaum tersebut yang kesannya polarisasi kaum tidak dapat dinafikan akan berlaku kelak.

Katanya lagi, DAP dilihat tidak menghadapi halangan besar untuk merealisasikan cita-cita untuk melaksanakan pilihan raya PBT.

Ini, ujar beliau kerana DAP mempunyai pihak yang setia yang akan menjilat dan menyalak mempertahankan tuannya.

“Sebelum ini veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mengutarakan pandangan Perdana Menteri bukan Melayu, sekarang pilihan raya PBT pula, selepas ini apa pula agenda DAP?” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/12/2023

- Advertisement -