
KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan mengatakan Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri di negara ini adalah biadap dan tidak beretika.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata demikian susulan Kit Siang berterusan menunggang Perlembagaan mengikut konteks sendiri demi mempertahankan impiannya melihat Perdana Menteri Malaysia bukan dari kalangan berbangsa Melayu.
“Biarpun telah ditegur dan dikritik oleh pelbagai pihak, beliau terus mempertahankan kenyataannya yang jelas mencetus ketegangan kaum dan agama.
“Tindakan ini cukup tidak beretika, dan tidak sesuai dalam konteks Malaysia yang penduduknya majoriti Melayu dan Bumiputera sebagai peribumi, serta agama Islam ialah agama Persekutuan berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pentadbiran di Malaysia dari dahulu sehingga kini, dinaungi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong yang berbangsa Melayu dan beragama Islam; serta dipimpin oleh Perdana Menteri berbangsa Melayu beragama Islam, yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia
“Inilah resipi keharmonian dan kelangsungan pentadbiran negara, yang mentaijahkan kemakmuran Malaysia sejak sekian lama walau dihuni masyarakat majmuk,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kenapa ada yang cuba mempertikaikan resipi tersebut, dan mencetuskan api perkauman dalam negara demi kepuasan nafsu politik?
Katanya lagi, tindakan Lim Kit Siang ini ternyata menzahirkan perjuangan sebenar DAP, yang sebelum ini dikatakan mempunyai agenda dalam mengubah struktur asas pentadbiran Malaysia yang diamalkan dari dulu sehingga kini.
“Ternyata, inilah ‘topeng sebenar’ DAP dan diakui secara langsung daripada mulut mantan pemimpin utama parti tersebut,” hujahnya.
Sehubungan itu, beliau ingin mengingatkan Lim Kit Siang bahawa selama ini pun, pemimpin dan ahli akademik di Malaysia sentiasa berfikir dan berbicara soal ‘The Future of Malaysia’ yang dikatakan oleh beliau.
“Dasar-dasar negara juga sedang terarah ke arah kecerdasan buatan, sains, dan seumpamanya.
“Namun, untuk menjadikan bukan Melayu sebagai Perdana Menteri bukanlah salah satu agenda ‘The Future of Malaysia’. Itu hanyalah agenda ‘The Future of DAP’,” tegasnya.
Oleh itu, beliau menuntut tindakan tegas ke atas Kit Siang, dan menekankan kenyataannya itu jelas mengancam keharmonian kaum dan negara ini.
“Sekiranya hal ini masih didiamkan oleh Kerajaan Perpaduan, maka tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada kerajaan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2023




















