Kerajaan Madani tubuhkan kabinet ‘balas budi’

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah berlangsung di Bangunan Perdana Putra, hari ini, disifatkan sebagai ‘kabinet balas budi’.

Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian kerana menurutnya, rakyat tidak melihat satu tindakan yang pro aktif ke arah memastikan kabinet bersih dari sebarang tohmahan negatif. 

- Advertisement -

Tambah beliau, Perdana Menteri pada masa ini masih mengekalkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pernah terpalit dengan tuduhan salah guna kuasa sekali pun telah ‘dibersihkan’ dengan tindakan dari Peguam Negara yang enggan meneruskan kes.

“Betapa kelirunya pengamal undang-undang dengan tindakan ini sehingga Majlis Peguam sendiri memfailkan semakan kehakiman untuk menyemak kuasa dan keputusan.

“Peguam Negara telah mengeluarkan perintah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan kes dana Yayasan Akalbudi pada minggu lepas. 

“Namun dalam kabinet PMX ini, beliau masih lagi dikekalkan. Tidak lain hanyalah kerana ia merupakan ‘kabinet balas budi’,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli turut memberitahu, sewaktu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyidin Yasin mengumumkan pembentukan kabinet pada Mac 2020 lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan ia sebagai ‘kabinet terdesak’. 

“Setelah setahun di bawah pemerintahan kerajaan madani, didapati tiada yang menarik melainkan mereka hanya bertindak selepas setahun belajar dari kesilapan. 

“Contohnya, pemisahan semula bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA),” jelas beliau.

Katanya lagi, ketika penggabungan kedua-dua bidang kuasa ini dibuat tahun lepas, AJK PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang juga bekas setiausaha politik Menteri KASA di era PN, pernah menulis bahawa ia merupakan langkah mundur ke belakang. (Lihat https://harakahdaily.net/index.php/2022/12/06/gabungkan-kasa-dan-ketsa-mundur-ke-belakang/)

“Alhamdulillah, pada hari ini kerajaan bertindak memisahkan semula dua bidang kuasa ini setelah setahun belajar bahawa tindakan menggabungkan kedua-duanya adalah salah. 

“Begitu juga dengan tindakan menggugurkan Sivakumar dari jawatan Menteri. 

“Ia satu tindakan yang bagus, dan ia telah disuarakan oleh PAS melalui Ketua Penerangannya pada 28 April 2023.” (lihat https://www.astroawani.com/…/pn-desak-sivakumar...).

“Ketika itu kerajaan kononnya menyatakan bahawa Sivakumar tidak terbabit dengan isu integriti dan tidak boleh dikenakan tindakan kerana belum terbukti bersalah,” jelasnya.

Ahmad Fadhli turut menyuarakan pada hari ini apabila Sivakumar digugurkan, adakah beliau terbukti didapati bersalah?

Justeru, katanya lagi, kabinet diperbesarkan walaupun dulunya disebut-sebut mengecilkan kabinet itu sebagai langkah penjimatan, namun pada masa sekarang adakah kerajaan mengambil langkah pembaziran? 

“Hakikatnya, besar atau kecil kabinet berasaskan keperluan. Jika perlu besar, perbesarkanlah. 

Jika perlu kecil, perkecilkan. Tidak perlu mengaitkan dengan langkah pentadbiran-pentadbiran sebelum ini,” hujahnya.

Sehubungan itu, katanya lagi Perdana Menteri pada masa ini telah menyedari bahawa perlu ada seorang menteri penuh untuk menjaga urusan kewangan negara. 

“Walaupun Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli menyatakan individu paling sesuai untuk menjawat jawatan Menteri Kewangan ketika ini ialah Perdana Menteri sendiri, tentulah pandangan itu sudah berubah sekarang. 

“Begitulah formula, ia boleh berubah dengan bertukarnya pembolehubah. 

“Cuma sayang belum tiba masa Datuk Seri Ahmad Maslan menjawat jawatan Menteri Kewangan. Dalam senarai ‘balas budi’ ini, Ahmad Maslan tidak termasuk,” tegasnya.

Justeru, beliau meramalkan kabinet yang baharu dibina oleh kerajaan madani ini paling lama dapat bertahan adalah setahun dan kemudian bakal dirombak semula.  HARAKAHDAILY 12/12/2023

- Advertisement -