
KANGAR: Perlis menjadi antara tiga buah negeri yang diiktiraf sebagai bandar paling bahagia di Malaysia termasuk Negeri Sembilan dan Melaka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Wan Badariah Wan Saad lagi pihaknya memberi fokus penyelesaian berdasarkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).
“Tiada dapatan atau statistik yang tepat boleh digambarkan mengenai kadar masalah sosial di Negeri Perlis.
“Oleh yang demikian, saya memberi fokus utama masalah sosial ini kepada maklumat yang diterima daripada pihak PDRM dan JAIPs.
“Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka juga telah diiktiraf sebagai bandar paling bahagia di Malaysia untuk tahun 2021 dalam Kajian Indeks Kebahagiaan 2021 oleh PLANMalaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) pada Mesyuarat Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15, di sini, hari ini.
Ujarnya lagi, walaupun dari segi peratusan kes sosial dilihat tinggi, namun berpandukan kuantiti ia masih di tahap sederhana dan tidak membimbangkan.
“Kes keganasan rumah tangga pula menurun daripada 41 kes (2022) kepada 23 kes pada tahun ini sehingga Oktober dengan penurunan 43.9 peratus,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/12/2023











