Cara kerajaan nilai golongan mohon kewarganegaraan

Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail mempersoalkan bagaimana cara kerajaan menilai ukuran kesetiaan bagi golongan yang ingin memohon kewarganegaraan.

“Yang pertama sekali saya fikir kewarganegaraan adalah kesetiaan. Jadi, ianya nampak macam kita nak galakkan seramai mungkin, apakah itu maksud kita dalam mendaftarkan kewarganegaraan baru?  

- Advertisement -

“Yang kedua, saya ucapkan tahniah kepada menteri yang memperkasakan isu bahasa tapi saya dengar.. betul atau tidak ada yang ‘markah rendah’ pun ada yang diberikan kewarganegaraan. 

“Yang ketiga ciri-ciri kesetiaan, apakah ia juga merupakan satu faktor penting dalam menentukan penerimaan kewarganegaraan. Satu lagi ialah fakta kepakaran strategik.. apakah juga termasuk kira,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam jawapannya berkata, kementeriannya tidak sewenang-wenangnya meluluskan kewarganegaraan kemana-mana pihak kerana anugerah kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi kepada negara.

Katanya lagi, kementeriannya memberi jaminan apa juga keputusan berasaskan peraturan dan mengikut undang-undang yang ada.

“Kalau kita letakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) 10,000.. itu bukannya bermakna semuanya lulus. Kita membuat keputusan, ada sebahagiannya tidak lulus dan ada yang lulus. Saya ingat ini difahami oleh pelbagai pihak.

“Memang setiap permohonan negeri kita ada syarat-syarat yang ditetapkan soal kesetiaan misalnya penggunaan bahasa Melayu tadi, ialah satu ciri-ciri untuk meningkatkan kesetiaan kepada negara,” katanya.  HARAKAHDAILY 12/12/2023

- Advertisement -