
ESSEX, England: West Ham tmenawarkan ganjaran £25,000 (RM147,313) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan dan kejayaan pendakwaan terhadap kumpulan samseng yang telah menceroboh rumah Kurt Zouma.
Kumpulan perompak terancang itu menceroboh masuk ke rumah agam Zouma yang bernilai £3 juta (RM17.7 juta) pada Sabtu, sebelum perlawanan Ahad dengan Crystal Palace ketika pemain pertahanan West Ham dan keluarganya berada di dalam rumah berkenaan.
Pihak polis berkata, tiada sesiapa yang dicederakan tetapi ‘barangan yang bernilai penting dan kepentingan peribadi dan sentimental yang besar’ termauk wang tunai dan barangan kemas telah dilarikan dengan jumlah keseluruhan mencecah £100,000 (RM589,251), lapor Daily Mail.co.uk.
“Kediaman anda diceroboh ketika anda berada di dalamnya adalah satu pengalaman yang menakutkan,” kata pengerusi bersama West Ham, David Sullivan.
“Saya harap ganjaran ini akan membantu membawa individu ke muka pengadilan dan mengelakkan orang lain daripada mengalami ujian yang sama,” tambahnya.
Susulan kejadian itu, Zouma, 29, tidak bermain dalam perlawanan menentang Palace, yang berakhir 1-1 di Stadium London.
Sehubungan pihak polis memberi amaran kepada jiran-jiran Zouma di tengah-tengah kebimbangan kumpulan jenayah terancang berkemungkinan kembali melakukan pencerobohan di kawasan itu untuk melakukan rompakan. – HARAKAHDAILY 5/12/2023




















