Sejauh mana keberkesanan Jerayawara Kasih KPWKM?

Husain Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sejauh mana keberkesanan pelaksanaan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual yang  telah dilancarkan pada 19 Mei lalu?

Senator Dato’ Husain Awang berkata, rakyat perlu mengetahui sejauh mana keberkesanan program tersebut ketika banyak kes membabitkan gejala tersebut dilaporkan dalam media sosial dan media massa.

- Advertisement -

Program kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu memberi secara amnya pendedahan masyarakat mengenai gangguan seksual.

“Minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan sejauhmana keberkesanan pelaksanaan Program Jerayawara KASIH KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual.

“Ia dilancarkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat serta menangani gangguan seksual di rumah dan di tempat kerja,” katanya dalam persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Aiman Athirah Sabu dalam jawapannya berkata, kerajaan telah menggubal akta khusus iaitu Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840).

“Selepas akta itu dikuatkuasakan secara berperingkat bermula 28 Mac lalu katanya kerajaan melaksanakan program terbabit yang diadakan di 14 negeri bermula di Pulau Pinang, 6 Julai,” katanya.

Tambah beliau, seramai 19,423 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat telah terlibat dalam program tersebut serta pelbagai aktiviti diadakan termasuk mengedarkan soal selidik kepada pengunjung.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima 97.6 peratus menunjukkan peningkatan kesedaran dan juga pemahaman berkaitan gangguan seksual dan menerima aduan 1,486 aduan berkaitan.

“Aduan ini diterima Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) sepanjang program jerayawara di seluruh negara, daripada jumlah ini 411 kes atau 27.7 peratus membabitkan kaum lelaki,” katanya.  HARAKAHDAILY 5/12/2023

- Advertisement -