Israel bunuh 2 orang awam setiap 1 Hamas terkorban

Sekitar penempatan penduduk di Shabourah, Semenanjung Gaza yang dikatakan 'zon selamat' oleh tentera Zionis yang mengarahkan penduduk berlindung di kawasan itu sebelum (gambar kiri) dan selepas dibom (gambar kanan) pada 3 Dis 2023. (FOTO: Al-Aqsa Flood)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Susulan jumlah kematian penduduk di Gaza kini melepasi 15,500 pada Isnin (4 Dis), tentera Israel mengakui bahawa ia membunuh dua orang awam bagi setiap pejuang Hamas yang terkorban dalam peperangan.

Pegawai kanan tentera Israel pada Isnin mengakui fakta tersebut dan mendakwa, tenteranya sedang menggunakan perisian pemetaan berteknologi tinggi untuk cuba mengurangkan kematian dalam kalangan yang bukan pejuang Hamas.

- Advertisement -

Tambahnya,  tentera menggunakan perisian pemetaan berteknologi tinggi untuk mengesan pergerakan penduduk di dalam Semenanjung Gaza dan mengeluarkan arahan pemindahan mengikut keadaan, lapor AFP.

“Sistem ini menggabungkan telefon mudah alih dan isyarat lain, pengawasan udara serta arahan menggunakan bahasa tempatan, selain kecerdasan buatan (AI) untuk mengemas kini peta mengikut pergerakan penduduk.

“Setiap daripada 623 sel peta menggunakan kod warna, dengan kawasan hijau yang ditetapkan di mana sekurang-kurangnya 75 peratus penduduk sudah dipindahkan.

“Pada dasarnya, di selatan, penduduk meningkat tetapi operasi dapat dilakukan secara lebih tepat.

“Kami mengambil lebih banyak masa untuk memastikan usaha kami (memberi amaran kepada orang awam) berkesan,” dakwa pegawai itu lagi.

‘Peta’ itu yang dikatakan oleh tentera Israel sebagai hasil penyelidikan dan pembangunan lapan tahun, ujarnya, tersedia untuk komander dan unit di lapangan perang.

“Ia digunakan untuk menyelaraskan usaha memberi amaran secara langsung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), panggilan telefon, risalah dan pengumuman lain kepada orang awam supaya meninggalkan kawasan tertentu sebelum serangan dilancarkan.

“Ia mirip kepada amaran dalam talian yang didakwa tentera bertujuan untuk membolehkan penduduk Gaza ‘berpindah dari tempat tertentu untuk keselamatan mereka jika diperlukan’,” jelasnya lagi dalam dakwaan tersebut.

Dalam responsnya, pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu OCHA sebaliknya mempersoalkan penggunaan alat sedemikian di kawasan di mana akses kepada telekomunikasi dan elektrik adalah tidak menentu.

Sementelah pada malam Isnin, syarikat telekomunikasi utama di Semenanjung Gaza berkata, telefon mudah alih dan perkhidmatan internet sudah dipotong di seluruh wilayah itu.

Dalam pada itu ditanya mengenai laporan media bahawa 5,000 pejuang Hamas telah terbunuh, salah seorang pegawai kanan Zionis memberitahu pemberita pada taklimat: “Jumlahnya lebih kurang tepat.

“Saya tidak mengatakan bahawa kita mempunyai nisbah dua berbanding satu,” ujar pula seorang lagi pegawai kanan tentera Israel sambil mendakwa bahawa penggunaan perisai manusia adalah sebahagian daripada ‘strategi teras’ Hamas.

“Mudah-mudahan ia (nisbah) akan jauh lebih rendah’ dalam fasa perang yang akan datang, tambah mereka, yang bercakap dengan syarat tidak mahu nama masing-masing disiarkan.

Angka kematian yang semakin meningkat dan krisis kemanusiaan yang berlaku di Gaza telah mencetuskan kemarahan di seluruh dunia.

Sementara, Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza  berkata, serangan balas Israel, terhadap Hamas di Gaza sejak 7 lalu Okt, telah membunuh kira-kira 15,900 orang setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.  HARAKAHDAILY 5/12/2023

- Advertisement -