
KUALA LUMPUR: Jika Malaysia boleh mengamalkan perkongsian sumber rentas negeri, ia bakal meningkatkan ekonomi negara sekali gus seperti dalam peribahasa Melayu ‘bagaikan aur dengan tebing’.
Syahir Sulaiman (PN-Bachok) berkata, hal tersebut kerana setiap negeri mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dari segi sumber dan sebagainya.
“Ada negeri yang mempunyai lebihan sumber, ada negeri yang kekurangan sumber, ada negeri mempunyai lebihan modal, ada negeri pula mempunyai lebihan tanah.
“Jika dikongsi dengan baik, ekonomi di negeri akan menjadi seperti aur dan tebing,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Justeru, Mohd Syahir meminta penjelasan berkaitan kesediaan pihak kerajaan untuk memberi mandat kepada Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama menjalinkan hubungan rentas negeri.
“Adakah menteri bersetuju supaya GLC utama di negeri-negeri ini diberikan mandat untuk meningkatkan pelaburan langsung domestik secara rentas negeri.
“Perkara ini pernah diusahakan oleh Almarhum Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor ketika itu dengan kerajaan Negeri Kelantan, kini sedang diusahakan antara Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan kerajaan negeri Perlis untuk membina hospital pakar di perlis.
“Dan terbaharu kerjasama antara Terengganu dan Sarawak untuk membangunkan ekonomi berasaskan hidrogen,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023




















