
KUALA LUMPUR: Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qaradhawi (KOMTAQ), Kuala Kerdau akan menghantar para pelajar ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kota Bharu.
Ini susulan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara KOMTAQ dan KIAS yang diadakan pada 26 November lalu.
Mudir KOMTAQ, Ustaz Kamal Ashaari berkata, perjanjian itu berhubung kerjasama pintar pendidikan bagi graduan huffaz dalam persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, KOMTAQ akan menghantar pelajar yang telah khatam hafazan dan syahadah untuk mengambil SPM di KIAS.
“KIAS menyediakan prasarana, tenaga pengajar dan fasiliti yang terbaik untuk pelajar.
“Semoga dengan perjanjian persefahaman ini KOMTAQ dapat melahirkan para huffaz yang terbaik dan menguasai ilmu serta membuka jalan untuk pelajar terus melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau kepada Harakahdaily.
Pada majlis menandatangani MoU itu, beliau bersama Ir Ts Khairil Nizam Khirudin selaku pengerusi mewakili KOMTAQ sementara KIAS diwakili Rektor dan Ketua Pegawai Korporat, Prof Emeritus Dr Ab Aziz Bin Mohd Zin dan Ustaz Muhammad Amiri Ab Ghani.
Ustaz Kamal juga memaklumkan pendaftaran kemasukan ke KOMTAQ 2024 masih lagi dibuka. – HARAKAHDAILY 30/11/2023











