
KUALA LUMPUR: Kerajaan dialu-alukan memberi sebarang inisiatif dalam memberi bantuan kepada pelarian-pelarian rakyat Palestin yang ada di negara ini.
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata hari ini (29 Nov) merupakan Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin yang mana Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) ingin menegakkan dengan tegas mengenai hak asasi manusia rakyat Palestin.
Menurut beliau, ini kerana rakyat Palestin yang bukan sahaja di Palestin tetapi juga di seluruh dunia mempunyai hak untuk hidup dengan aman, penentuan nasib sendiri (self-determination) dan kedaulatan dan juga untuk pulang ke tanah air (the right to return).
“Selaras dengan mandat yang diberikan kepada kami untuk melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam isu berkaitan pelarian di Malaysia, KRPPM Polisi Pelarian telah mengadakan konsultasi dengan pelbagai pihak termasuklah komuniti pelarian Palestin di Malaysia, Kedutaan Palestin, kementerian- kementerian yang berkaitan, ahli-ahli Parlimen Malaysia termasuk ahli-ahli Kaukus Palestin, para akademik dan institusi think tank, dan pelbagai rakan organisasi bukan kerajaan yang aktif membantu warga Palestin dari segi kemanusiaan dan hak asasi manusia,” katanya.
Tambah beliau, ramai Ahli Parlimen Malaysia telah berterusan mengecam tindakan kezaliman negara haram Israel terhadap Palestin lebih-lebih lagi sejak pengeboman kejam Israel terhadap Gaza yang bermula pada 7 Okt lalu.
“Ini membuktikan bahawa semua rakyat di negara ini bersama-sama menyokong rakyat Palestin dan berusaha tanpa henti untuk membantu dari segi kemanusiaan dan hak asasi manusia.
“Berdasarkan konsultasi dengan komuniti Palestin Malaysia maka pada hari Jumaat (24 Nov) lalu, Malam Mahabbah dan Munajat Bersama Keluarga Palestin di Malaysia diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).
“Ini adalah hasil kerjasama antara KRPPM Polisi Pelarian dengan Global Peace Mission Malaysia (GPMM) dan UIA dengan sokongan Aid4Palestine, Cinta Gaza Malaysia, Cakna Palestin dan Yayasan ECM Libra,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media di Parlimen yang diadakan pada hari ini yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Mat Nawi.
Menurut beliau lagi, agenda pada malam tersebut adalah ucapan alu-aluan diikuti dengan persembahan kanak-kanak pelarian dari alternative learning Jasmine Ash Sham, lukisan dan kraf tangan oleh artis pelarian Palestin dan penyediaan makanan yang dimasak oleh seorang tukang masak dari Palestin.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa KRPPM Polisi Pelarian menganjurkan empat sesi Kamar Khas khususnya mengenai pelarian Palestin di Malaysia atas sokongan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dato Dr. Johari Abdul.
Ahmad Tarmizi berkata, sesi Khamar Khas tersebut akan disertai Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia.
“KRPPM Polisi Pelarian mengalu-alukan inisiatif Kerajaan setakat ini ke atas Palestin dan menyeru kerajaan untuk mengukuhkan sokongan kami kepada rakyat Palestin di Malaysia melalui pelaksanaan dasar domestik.
“Ini khususnya pelaksanaan segera pindaan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 23, yang telah pun diluluskan oleh YAB Perdana Menteri, demi memberikan izin kepada pelarian-pelarian yang berada di Malaysia buat sementara waktu untuk bekerja secara sah dan mendapat akses kepada perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kesihatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023




















