
KUALA LUMPUR: Kekalkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sebagai institusi bebas.
Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, SUHAKAM tidak perlu dicengkam oleh sebarang fahaman politik termasuk badan bukan kerajaan yang cenderung ke arah mana-mana parti.
“Individu yang terbabit secara aktif dalam politik dan berdaftar dengan mana-mana parti politik tidak boleh dilantik sebagai anggota suruhanjaya.
“Persoalan saya, adakah kriteria yang ditetapkan bagi menentukan pembabitan individu dalam politik samada wujud atau tidak kaedah pemantauan sedia ada mencukupi atau sebaliknya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (pindaan) 2023, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan isu berkaitan pendekatan kerajaan bagi memastikan institusi itu tidak mengalami sebarang tekanan dari pelbagai pihak berkepentingan.
“Apakah pendekatan kerajaan untuk memastikan SUHAKAM kekal sebagai institusi yang bebas daripada sebarang tekanan politik termasuk mana-mana pihak atau NGO yang cenderung ke arah parti politik tertentu.
“Serta ada pihak yang menggunakan saluran ini untuk mengetengahkan tuntutan mereka yang mungkin tidak selari dengan konteks acuan tempatan bahkan bercanggah dengan perlembagaan persekutuan.
“Contohnya, seperti isu Lesbian Gay Biseksual dan Transgender (LGBT), ajaran agama yang songsang dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023




















