
VERMONT: Tiga pelajar Palestin ditembak berhampiran Universiti Vermont, dengan dua Dua daripada tiga lelaki berusia 20 tahun itu berada dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi menghadapi kecederaan yang lebih serius.
Jabatan Polis Burlington di Vermont berkata, mangsa dalam perjalanan ke majlis makan malam kesyukuran di salah sebuah rumah saudara mereka dan dua daripada mereka memakai selendang keffiyeh Palestin.
Dalam kejadian malam Sabtu, waktu tempatan itu, penembak telah melepaskan sekurang-kurangnya empat das tembakan dari pistol, yang mencederakan ketiga-tiga pelajar dikenali sebagai Tahseen Ali Ahmed, Kinnan Abdalhamid and Hisham Awartani, lapor CBS News.
Pegawai dari Jabatan Polis Burlington, jabatan polis Universiti Vermont dan pasukan tempatan yang lain segera bertindak ke tempat kejadian.
Ketiga-tiga mangsa sebelum ini bersekolah di sekolah Quaker di bandar Ramallah di Tebing Barat, Palestin bersama-sama; dan mereka kini masing-masing pelajar kolej di Universiti Brown, Kolej Haverford dan Kolej Trinity di Amerika Syarikat.
Tembakan itu berlaku ketika Islamofobia dan antisemitisme meningkat dengan latar belakang perang Israel-Hamas, yang kini berada dalam jeda tentera selama empat hari untuk memastikan laluan selamat tebusan yang dibebaskan.
Terdahulu pada bulan November, Presiden Joe Biden mengumumkan program nasional ‘kali pertama kali’ untuk menentang Islamofobia di AS.
Biden telah diberi taklimat mengenai kejadian tembakan tiga pelajar Palestin itu dan terus menerima kemas kini apabila penguatkuasa undang-undang mengumpulkan lebih banyak intel.
Sementara keluarga ketiga mangsa dalam kenyataan bersama mereka, menyeru pasukan polis untuk mengklasifikasikan kejadain tembakan itu sebagai jenayah kebencian.
“Anak-anak kami adalah pelajar yang berdedikasi yang layak untuk dapat memberi tumpuan kepada pelajaran dan membina masa depan mereka,” ujar kenyataan itu.
Dalam pada itu, Jabatan Polis Burlington berkata ia sedang menjalankan semua sudut dalam siasatannya, termasuk kemungkinan bahawa ini adalah jenayah kebencian.
“Setakat ini, ia belum boleh disyaki bahawa ia mungkin jenayah bermotifkan kebencian. Dan saya telah pun berhubung dengan rakan penyiasat persekutuan dan pendakwaan untuk bersedia menghadapinya jika ia terbukti,” kata Ketua Polis Burlington, Jon Murad dalam satu kenyataan.
Jenayah kebencian dianggap sebagai kesalahan persekutuan di AS, yang mana jurucakap FBI Albany, yang meliputi Vermont, berkata dalam satu kenyataan berikutan kejadian tembakan itu, biro berkenaan sedang menyiasat insiden itu untuk melihat sama ada terdapat bukti ‘pelanggaran persekutuan’.
Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR) pula telah menawarkan ganjaran AS$10,000 untuk sebarang laporan atau maklumat yang boleh membantu menangkap dan mensabitkan kesalahan penembak tiga pelajar tersebut.
Senator Bernie Sanders dalam pada itu mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian tembakan itu dalam catatan media sosialnya pada Ahad.
“Sungguh mengejutkan dan amat mengecewakan bahawa tiga orang muda Palestin ditembak di sini di Burlington, VT.
“Kebencian tidak mempunyai tempat di sini, atau di mana-mana. Saya menantikan siasatan penuh. Fikiran saya bersama mereka dan keluarga mereka,” kata ahli parlimen bebas Vermont itu dalam satu catatan di platform X milknya. – HARAKAHDAILY 27/11/2023




















