
RAMALLAH: Lapan belas rakyat Palestin telah terbunuh dan sekurang-kurangnya 20 lagi cedera selepas Angkatan Pertahanan Israel (IDF) membuat serbuah pada siang hari Khamis (9 Nov) selama berjam-jam di bandar Jenin dan kem pelariannya di Tebing Barat yang diduduki.
Dalam peningkatan keganasan terbaharu di Tebing Barat, yang berlaku dengan berlatar belakang perang Israel terhadap Hamas di Semenanjung Gaza, IDF berkata serangan udara itu ditujukan terhadap apa yang didakwanya skuad lelaki bersenjata di bandar itu.
Sumber tempatan menamakan salah seorang yang maut sebagai Ayham al-Amer, seorang pegawai dalam perkhidmatan keselamatan Palestin di Tebing Barat.
Sementara, Kementerian kesihatan di Ramallah berkata, dua lagi rakyat Palestin terbunuh pada malam Rabu (8 Nov) dalam insiden berasingan di Beit Fajjar, selatan Bethlehem, dan di Dura, selatan Hebron.
Rakaman grafik dari tempat kejadian di Jenin menunjukkan mayat beberapa lelaki, terbaring di atas tanah manakala seorang paramedik melakukan urutan jantung pada salah seorang yang cedera dalam serangan itu, lapor The Guardian.
Serbuan itu juga melibatkan kenderaan berperisai dan sekurang-kurangnya satu jentolak, diteruskan selepas serangan udara.
Memperincikan apa yang dikatakan sebagai urutan peristiwa, IDF berkata ia memasuki Jenin semalaman pada Rabu, membongkar dan memusnahkan beberapa alat letupan buatan sendiri. Ketika serbuan berterusan sehingga siang hari, sekumpulan menembak ke arah tentera Israel, yang membawa kepada serangan udara.
Semasa serbuan bermula, risalah dijatuhkan di kem pelarian Jenin berkata: “Aktiviti IDF di dalam kem berlaku disebabkan aktiviti pengganas yang anda sokong, IDF akan kekal di sini dan kembali dari semasa ke semasa sehingga keganasan akhirnya dihapuskan. Jauhi keganasan dan hidup dengan aman. Kamu telah diberi amaran.”
Menurut angka kementerian kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 178 rakyat Palestin telah terbunuh di Tebing Barat sejak serangan balas Israel terhadap Hamas di Gaza bermula 7 Okt menyebabkan 10,569 orang awam terkorban termasuklah 4,324 kanak-kanak dan 2,823 wanita.
Kadangkala pertempuran maut telah berlaku antara IDF dan Palestin di Tebing Barat kerana Israel telah mengenakan penutupan yang meluas dan selalunya kejam di bandar-bandar Palestin dan ketika peneroka haram Yahudi juga melancarkan serangan rakyat Palestin di situ. – HARAKAHDAILY 10/11/2023




















