Subsidi ayam tamat, permulaan derita rakyat

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hari ini, Selasa (31 Okt) merupakan hari terakhir untuk rakyat Malaysia menikmati subsidi terhadap harga ayam yang diberikan oleh pihak kerajaan, namun dikhuatiri esok bakal menjadi permulaan derita rakyat.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata demikian apabila kerajaan memberikan rasional bahawa penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi. 

- Advertisement -

Menurutnya, keputusan menamatkan subsidi bermakna harga ayam akan diapungkan berdasarkan kondisi pasaran termasuklah bagaimana keadaan permintaan dan pengeluaran mempengaruhi harga. 

“Akibatnya, harga ayam bakal naik mendadak!” tegasnya kepada HarakahDaily.

Justeru, katanya lagi, adalah lebih malang sekali apabila alasan penamatan subsidi ayam  tidak disusuli oleh statistik dan data.

“Kita lihat pada tahun hadapan, cukai perkhidmatan dinaikkan dari 6 peratus kepada 8 peratus, kecuali melibatkan makanan, minuman dan telekomunikasi. 

“Secara realistiknya akan berlaku rantaian kenaikan cukai kerana kos pengangkutan, kos logistik dan kos bahan mentah akan meningkat, menyebabkan kos makanan, minuman dan telekomunikasi turut akan meningkat. 

“Ini adalah kesan langsung atau tidak langsung  yang bakal berlaku,” jelasnya. 

Kejatuhan nilai ringgit pada masa kini, ujar Shahir lagi, bakal menjadi kesan langsung menyebabkan kenaikan harga ayam kerana bahan mentah bagi pembuatan makanan ternakan yang diimport seperti jagung dan soya sudah naik melambung. 

“Percayalah, menteri yang bertanggungjawab akan menyalahkan situasi ekonomi dunia apabila harga ayam meningkat,” hujahnya.

Sehubungan itu, Shahir turut memberitahu solusi jangka pendek yang populis seperti jualan ayam harga rahmah untuk beberapa puluh ekor pada masa terhad hanyalah retorik politik semata-mata. 

“Jikalau sebelum ini, rakyat yang susah, dapat menikmati hidangan ayam dan telur sebagai sumber protein. 

“Kini, rakyat hanya mampu makan telur sebagai sumber protein. Peniaga restoran juga bakal terkesan dengan peningkatan harga ayam. Akibatnya, harga makanan bakal melonjak tinggi. 

“Akhir sekali, kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tahun hadapan bakal menjadi malapetaka ekonomi kepada rakyat dan negara di saat nilai ringgit yang kian lemah. Kuasa beli rakyat kian terhakis,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2023

- Advertisement -