
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Pasu meminta Dato’ Seri Anwar Ibrahim, memberi penjelasan berhubung hasil lawatan Perdana Menteri ke beberapa negara bagi menarik pelaburan, terutama Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, Ahli Parlimen Tambun perlu memperincikan sektor pelaburan yang bakal datang ke Malaysia bagi memulihkan situasi ekonomi negara, selain meningkatkan nilai Ringgit Malaysia (RM).
Beliau turut meminta kerajaan menyatakan strategi dan langkah yang diambil bagi mengurangkan nilai eksport yang menurun sebanyak 8.4 peratus bagi tempoh antara Januari sehingga September tahun ini, berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Jumlah pelaburan dan sektor industri manakah yang akan dilaksanakan oleh pelabur dari AS dan Arab Saudi secara terperinci, iaitu hasil lawatan Perdana Menteri, baru-baru ini.
“Selain itu apakah strategi yang dilakukan kerajaan bagi memitigasikan nilai eksport yang menurun sebanyak 8.4 peratus bagi tempoh Januari-September 2023 berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2022,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab persoalan ini, Perdana Menteri memberitahu bahawa lawatan ke AS memberi tumpuan kepada syarikat gergasi dalam sektor peranti perubatan, elektrik dan elektronik (ENE), bidang jentera dan peralatan berat dengan jumlah pelaburan RM4.7 bilion.
Katanya, dua projek dalam ENE serta jentera dan peralatan berat berpotensi menjana pendapatan kepada negara sebanyak RM2.7 bilion dan dijangka siap pada 2024, peranti perubatan RM2 bilion diperolehi secara berterusan sehingga tahun 2031.
Menurutnya, lawatan ke UAE lebih berhasil kerana kedua-dua pihak menyatakan komitmen dan bakal melakukan tindakan susulan dalam aspek penyelenggaraan dan baik pulih aeroangkasa bagi jet peniagaan berjumlah RM710 juta.
“Syarikat Mazda sudah datang serta mahu meneruskan perbincangan untuk tindakan pelaksanaan, manakala UAE ketika ini merupakan rakan pelaburan terbesar kita dari Asia Barat dengan nilai pelaburan mencecah sehingga RM1.4 bilion.
“Arab Saudi pula melalui anak syarikatnya iaitu syarikat minyak terbesar, Aramco bersetuju untuk menambah pelaburan di Pengerang, Johor dan mereka juga akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, katanya eksport negara diperluaskan ke pasaran bukan tradisional, iaitu Asia Tengah yang meningkat sebanyak 2.3 peratus dan Amerika Latin dengan peningkatan sebanyak 24.7 peratus. – HARAKAHDAILY 31/10/2023











