Israel serang sekitar Hospital Al-Quds

Unit kecemasan Hospital Al-Quds di bandar Gaza. (FOTO: The Weekly Times)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Tentera zionis Israel menyerang dengan membedil beberapa peluru berpandu dalam serangan udara di sekitar Hospital al-Quds di kejiranan Tel al-Hawa, di bandar Gaza awal pagi ini.

Pengarah hospital dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, roket Angkatan Tentera Israel (IDF) telah mendarat berhampiran hospital berkenaan bagi memaksa penduduk yang mencari perlindungan di situ bergerak ke arah selatan.

- Advertisement -

Pertubuhan kemanusiaan itu, yang merupakan sebahagian daripada Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, berkata pada Ahad bahawa hospital itu menerima dua panggilan telefon ‘dengan ancaman jelas dan langsung’ daripada pihak berkuasa Israel mengarahkan mereka mengosongkan hospital.

“Mereka menyebut bahawa kawasan ini akan menjadi zon tentera, bahawa akan berlaku pertempuran dan kawasan itu akan berbahaya dan kami perlu berpindah dengan cepat,” kata Mourad

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin pula berkata, hospital itu melindungi kira-kira 12,000 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal selain ratusan orang yang cedera dan pesakit lain yang memerlukan rawatan.

Sementara IDF dalam kenyataannya mendakwa Hamas menggunakan hospital tersebut  sebagai pusat arahan ketenteraannya, ketika ia memperluaskan serangan daratnya selepas beberapa minggu mengebom Semenanjung Gaza.

Dalam pada itu, menurut kemas kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada hari Sabtu, terdapat juga laporan mengenai pengeboman berhampiran hospital Indonesia dan al-Shifa, apabila perkhidmatan telefon dan internet terputus apabila jet Israel menjatuhkan lebih banyak bom.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pula mengulangi kenyataannya bahawa adalah mustahil untuk memindahkan pesakit tanpa membahayakan nyawa mereka.

“Terdapat lebih ramai yang cedera setiap jam. Namun, ambulans tidak dapat menghubungi mereka semasa gangguan komunikasi. Bilik mayat penuh. Lebih separuh daripada yang maut ialah golongan wanita dan kanak-kanak,” ujar kenyataan itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, setakat ini, lebih 8,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh serangan Israel; dan pejabat media kerajaan Hamas Gaza berkata, 116 pegawai perubatan dan 35 wartawan telah terkorban sejak konflik meletus pada 7 Okt lalu.

Antara yang maut di Gaza ialah 59 pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mana Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB mengadakan upacara pengebumian pada Ahad (29 Okt). – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -