
LIPIS: Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa tetap akan ada sekumpulan dalam kalangan umatnya yang tidak dapat dihancurkan dengan pelbagai cara sekalipun hingga datang janji Allah SWT kepada mereka.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apabila Baginda ditanya para Sahabat RA mengenai kumpulan itu, dinyatakan bahawa mereka adalah ahli Baitul Maqdis, yakni Palestin pada hari ini.
Kupas beliau, serangan kumpulan jihad HAMAS bermula 7 Oktober lalu adalah tindak balas ke atas Zionis-Israel yang telah menceroboh kiblat pertama umat Islam iaitu Masjidil Aqsa dan menghalang umat Islam mengerjakan solat.
Malah Yahudi-Zionis ujarnya, bukan sahaja telah menceroboh, tetapi juga sedang menggali di bawah masjid itu, termasuk pernah cuba membakarnya bagi mendirikan kuil Yahudi dipanggil Haikal Sulaiman.
ADUN Cheka itu turut menyebut, Palestin yang dinyatakan Allah sebagai bumi diberkati itu hari ini tidak dianggap hanya untuk penduduk di situ, tetapi menjadi milik umat Islam di seluruh dunia.
“Bukan hanya umat Islam di Gaza yang diseksa, dizalimi, tetapi seluruh dunia. Umat Islam di Uyghur, di Bosnia, di Chechnya, diseksa, dibunuh. Demikian juga sejarah peperangan yang berlaku penindasan ke atas umat Islam, berlaku saban waktu.
“Namun sangat jauh bezanya bila mana ada ancaman ke atas umat Islam di Palestin. Kebangkitan dunia hari ini menyaksikan bukan sahaja negara-negara Islam. Yang berhimpun membantah kezaliman Yahudi-Zionis laknatullah di Tebing Barat termasuk kalangan bukan-Islam.
“Hari ni kita menyaksikan bagaimana rakyat Amerika yang beragama Kristian. Rakyat Amerika rakyat Britain, rakyat Perancis mengadakan demonstrasi membantah kekejaman yang dibuat ke atas umat Islam di Gaza.
“Kita menyaksikan banyak negara di Eropah berhimpun membantah dan sangat dukacita bila mana Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memang yang diduga tidak akan luluskan gencatan senjata.
“Persidangan yang dibuat menyaksikan 14 negara menolak resolusi yang dibawa oleh Jordan agar diadakan gencatan senjata segera bagi menyelamatkan rakyat Palestin,” ujarnya Himpunan Solidariti Palestin anjuran Pusat Khidmat ADUN Cheka dan PAS Kawasan Lipis di Laman Qaseh, Tempoyang, di sini semalam.
Ahli Parlimen Kubang Kerian turut melahirkan rasa kesal apabila Speaker Dewan Rakyat bertindak menolak usul mengecam Israel untuk dihadapkan ke mahkamah antarabangsa atas jenayah perang, sebaliknya sekadar penyataan Menteri dalam isu tersebut.
“Kita kena faham dalam Parlimen Malaysia dua kali dibahas isu Gaza. Tapi bukan usul Parlimen. Sebab itu dia tak kuat, dia lemah. Sebab dia bukan satu usul, berbeza pemimpin sebelum ini kita bawa usul dalam Parlimen.
“Sebulat suara meluluskan usul mengecam Israel. Kali ni hanya kenyataan Menteri. Kita rakyat ini bangkit mendesak paling tidak Perdana Menteri hendaklah memboikot persidangan APEC yang akan diadakan di California pada bulan November nanti.
“Kita mendesak Perdana Menteri jangan hadir. Persidangan ekonomi APEC yang kali ni kebetulan Amerika menjadi tuan rumah,” ujarnya pada himpunan yang turut disertai NGO-NGO dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM18,000.
Semua duit kutipan ini akan diserahkan kepada PAS Negeri Pahang atas nama kutipan PAS Kawasan Lipis sebelum ianya diserahkan kepada Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) bagi pembinaan hospital di Gaza. – HARAKAHDAILY 30/10/2023






















