
ANGKA korban di kalangan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza akibat serangan ganas tentera rejim zionis Israel telah meningkat kepada 8,005 orang termasuk 3,342 kanak-kanak, 2,062 wanita dan 480 warga emas serta dilaporkan lebih daripada 1,000 warga Semenanjung Gaza masih lagi berada di bawah runtuhan bangunan. Semalam sahaja tentera rejim zionis Israel telah melakukan 56 pembunuhan beramai-ramai dan daripada 8,005 angka korban rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, 2,000 daripadanya adalah pelajar dan 70 orang lagi adalah kakitangan institusi pendidikan dengan lebih kurang 200 buah sekolah mengalami kerosakan teruk sejak berlangsungnya serangan ganas rejim zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Dilaporkan menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban terkini warga Semenanjung Gaza berkemungkinan telah menceceah 10,000 orang.
2. Tentera rejim zionis Israel meneruskan serangan ganas bersepadu ke atas Semenanjung Gaza dengan menyerang wilayah dan bandar di Semenanjung Gaza seperti di bandar Gaza, Jabalia, Al-Shajaia, Beit Lahia, Khanyounis, Kejiranan Al-Zaiton, Al-Nasr dan Tel-Hawa, Kem Al-Bareej dan Maghazi dan Nusirat.
3. Tentera rejim zionis Israel menyatakan bahawa semalam ia telah menyasarkan 450 sasaran di Semenanjung Gaza dan tenteranya akan meneruskan operasi darat di Semenanjung Gaza.
4. Kumpulan pejuang Palestin terus membalas pengeboman ganas rejim zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza dengan melancarkan serangan roket dan artileri ke atas wilayah dan bandar-bandar yang dijajah regim zionis Israel seperti di Tel Aviv, Salfit, Ashdoud, Asqlan, Kibots Netif, Zikim, Nirim, Nir Ouz dan pengkalan tentera regim zionis Israel di Raim, Zikim dan Eraz termasuk bandar dan penempatan haram yahudi di Gaza.
5. Telah berlaku peningkatan drastik pertempuran sengit antara kumpulan pejuang dan anak muda Palestin dengan tentera rejim zionis Israel di Tebing Barat antaranya di Jenin, Nablus, Tulkarm, Tubas, Ramallah dan Baitul Laham.
6. Tentera rejim zionis Israel meneruskan serangan udara dan artileri ke atas wilayah dan bandar di selatan Lubnan seperti di Kfarshouba, Naharia, Ayta Al-Shaab, Bastra dan Halta.
7. Tentera rejim zionis Israel telah mengarahkan pendatang haram yahudi yang tinggal di bandar haram Musgaf bersempadan dengan Lubnan supaya segera memasuki “tempat perlindungan” berikutan berlakunya ancaman keselamatan.
8. Pihak pengurusan Hospital Al-Quds di Semenanjung Gaza menerima ancaman pengeboman ke atas hospital tersebut daripada regim zionis Israel dan diarahkan supaya mengosongkan dengan segara hospital tersebut yang ketika ini menampung ratusan pesakit termasuk lebih kurang 14,000 warga Semenanjung Gaza yang kehilangan tempat tinggal.
9. Ketika ini hospital-hospital yang masih beroperasi di Semenajung Gaza beroperasi melebihi kapasitinya iaitu sebanyak 170 peratus dan sejak berlakunya peperangan di Semenanjung Gaza, seramai 116 kakitangan kesihatan dan paramedik terkorban, 25 ambulans musnah serta 25 institusi kesihatan disasarkan.
10. Sejak berlangsung peperangan di Semenanjung Gaza, tentera rejim zionis Israel telah menahan 1,590 orang warga Palestin di Tebing Barat dan semalam sahaja seramai 35 orang ditahan dari pelbagai kawasan dan bandar di Tebing Barat.
11. Presiden Turkiye Recep Tayyip Edrogan menyatakan bahawa Turkiye telah memanggil pulang dutanya di Tel Aviv dan akan menilai kembali hubungan antara kedua-dua buah negara. Tindakan tersebut menyebabkan negara haram Israel seterusnya mengambil tindakan yang serupa dengan memanggil pulang dutanya di Ankara dan menilai kembali hubungan kedua-dua negara.
12. Presiden Iran Ebrahim Raisi menyatakan bahawa Amerika Syarikat menghalang gencatan senjata daripada dilaksanakan di Semenanjung Gaza.
13. Talian komunikasi dan internet secara beransur-ansur telah pulih di Semenanjung Gaza setelah lebih 34 jam terputus akibat dibom tentera rejim zionis Israel.
14. Rejim zionis Israel sedang berusaha menghalang Elon Musk daripada menyediakan perkhidmatan Starlink kepada organisasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza.
15. Demonstrasi besar-besaran menyokong Palestin terus berlaku di bandar-bandar utama di dunia seperti di London, Beirut, Bilbao, Sydney, Valencia, Athens dan New York.
Selamatkan Masjidil Aqsa, Bebaskan Palestin.
Disediakan oleh:
DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
AJK PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 30/10/2023











