Apa ‘projek segera’, peruntukan khas ‘Temu Anwar’

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman membangkitkan persoalan mengenai ‘projek segera’ dan peruntukan khas yang telah diumumkan Perdana Menteri ketika melakukan lawatan di negeri-negeri.

- Advertisement -

Ini, katanya termasuk dalam siri dialog ‘Temu Anwar’, walaupun perkara itu pernah dijanjikan tidak lagi akan diamalkan di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

Beliau mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun pula meminta Perdana Menteri menyatakan sektor dan jenis reformasi yang telah berjaya dilaksanakan oleh kerajaan dalam tempoh sepuluh bulan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Sementara itu, soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini sebagaimana di bawah.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pertahanan menyatakan status pembaikan dan penggantian radar pesisir pantai di Wilayah Sabah bagi memastikan sistem amaran awal terhadap aktiviti pencerobohan laut di kawasan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) sentiasa berfungsi dengan baik dan berada pada tahap optimum.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Perdana Menteri menyatakan usaha mengukuhkan hak dan kedudukan mahkamah syariah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan memperluas fungsinya untuk mengangkat martabat undang-undang syariah bagi umat Islam di negara ini.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan apakah Kerajaan bersedia memberikan peranan lebih besar kepada JAKIM dalam Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) agar dapat bertindak mencegah sebelum terlambat bagi menyekat kemasukan artis barat yang membawa unsur LGBT ke dalam negara ini seperti insiden konsert The 1975.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian untuk mempromosikan sukan permotoran terutama dalam kalangan anak muda termasuk peruntukan dana untuk pembinaan litar permotoran, sekaligus melahirkan lebih ramai jaguh sukan permotoran di peringkat domestik dan antarabangsa.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan usaha Kerajaan dalam mengawal harga barang seperti gula, beras dan barang-barang asas lain yang kini banyak membebankan rakyat.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan tindakan Kerajaan dalam menyelesaikan banyak projek-projek perumahan yang tergendala di mana pembeli masih meneruskan pembayaran sedangkan projek tersebut sudah berhenti.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pertahanan menyatakan bahawa apakah inisiatif Kementerian Pertahanan bagi membaik pulih dan meningkatkan (upgrade) fasiliti rekreasi bagi keluarga angkatan tentera yang berpangkat rendah seperti fasiliti rekreasi di Kelab Pantai Kem Terendak yang sudah berada pada kondisi yang amat daif (run down).

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan statistik remaja yang menggunakan aplikasi seks songsang dan sejauh mana kerjasama rentas Kementerian telah dijalankan bagi menangani isu seks bebas yang menggunakan aplikasi dalam talian.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk mengadakan kemudahan lif bagi pembinaan rumah flat PPR yang melebihi 3 tingkat termasuk groundfloor dan dengan keluasan yang lebih selesa.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah ada perancangan Tentera Darat Malaysia untuk melengkapkan setiap anggota dengan alat pengesan elektronik encrypted global positioning system (GPS) sewaktu anggota diatur gerak melaksanakan operasi memandangkan masih berlaku insiden anggota yang terkorban akibat sesat terlalu lama di hutan belantara ataupun lemas di sungai sewaktu menjalankan tugas baru-baru ini.

Tuan Mohd Syahir bin Che Sulaiman [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan senarai “projek segera” dan peruntukan khas yang telah diumumkan YAB Perdana Menteri ketika melakukan lawatan di negeri-negeri, termasuklah dalam siri dialog “Temu Anwar”, walaupun perkara ini pernah dijanjikan tidak lagi akan diamalkan di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk mewujudkan premis Pusat Khidmat Ahli Parlimen yang lengkap dengan pegawai dan kemudahan pejabat di semua kawasan Parlimen di Malaysia.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah bentuk usaha Kerajaan akan lakukan bagi membantu proses membangunkan semula Iraq.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan langkah-langkah susulan, penyelesaian segera dan tindakan yang efektif dari Kementerian ekoran peningkatan mendadak harga barang khususnya harga barang keperluan utama rakyat sejak akhir-akhir ini.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan langkah selain Jualan Rahmah yang diambil untuk menangani isu peningkatan harga barangan asas daripada terus memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan tindakan penyelesaian yang akan dilaksanakan untuk penjaja-penjaja kecil yang sering disaman oleh pihak PBT atas berbagai kesalahan. Bolehkah mereka diberi lesen penjaja kecil atau lesen sementara.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Perdana Menteri menyatakan sektor dan jenis reformasi yang telah berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan dalam tempoh sepuluh bulan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [Kuala Kangsar] minta Menteri Perdagangan Dalam  Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan perincian mekanisme yang akan diguna pakai dalam cadangan penubuhan Amanah Saham Rahmah bagi membantu keluarga miskin di negara ini.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) adakah Kerajaan Negeri Kelantan akan mendapat bayaran royalti dari Kerajaan Persekutuan bagi perdagangan petroleum mentah dan apakah Kerajaan mempunyai political will untuk menoktahkan polemik ini dengan memudahcarakan tuntutan hak ini bagi melepasi segala alasan termasuk perundangan dengan meminda akta; dan

(b) mengenai peruntukan di dalam Seksyen 5, Akta 144 mengenai Majlis Penasihat Petroleum Negara mohon dinyatakan nama keanggotaannya yang terkini.

Tuan Jamaludin bin Yahya [Pasir Salak] minta Perdana Menteri menyatakan mengapa permohonan Tebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) tidak berjaya walaupun permohonan telah dibuat dua tahun berturut-turut bagi 2022 dan 2023.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan:

(a) statistik dan perangkaan hartanah kediaman dan komersial yang tidak terjual di Negeri Johor; dan

(b) bagaimana mekanisme Kerajaan untuk memastikan pelaksanaan Malaysia My Second Home (MM2H) tidak akan membebankan lagi rakyat tempatan untuk membeli hartanah kediaman.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan dari 2022 hingga suku kedua tahun 2023, berapa peratusan warga asing yang memiliki rumah di seluruh negara.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Perdana Menteri menyatakan bagaimanakah kaedah agihan peruntukan kebajikan dan peruntukan pembangunan disalurkan di kawasan Parlimen yang dimenangi oleh ahli Parlimen pembangkang bagi tempoh Januari hingga September 2023.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah langkah-langkah yang Kementerian akan laksanakan untuk menghilangkan keresahan kehidupan rakyat terutama golongan B40 terhadap isu kos sara hidup yang semakin hari semakin menghimpit kehidupan rakyat. Nilai wang menjadi lebih kecil berbanding dengan barangan yang dapat dibeli.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah usaha Kementerian untuk menyelesaikan isu penyelenggaraan rumput di bandar- bandar utama di Malaysia khasnya Bandaraya Alor Setar dan adakah Kementerian bercadang mengembalikan kuasa mengurus penyelenggaraan ini kepada pihak PBT.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah kajian terperinci telah dibuat tentang loji Waste To Energy yang akan dibangunkan di pusat pelupusan sampah Sungai Udang, Melaka kerana projek seumpana ini telah gagal dilaksanakan di beberapa tempat lain disebabkan bantahan daripada orang ramai.

Tuan Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan [Permatang Pauh] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan kaedah pemulihan projek perumahan swasta yang dilaksanakan melalui pelantikan pelikuidasi/ pemaju/ kontraktor penyelamat untuk pemulihan projek perumahan terbiar.

Dr. Siti Mastura binti Muhammad [Kepala Batas] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan:

(a) bilakah pembinaan PPR Rent to Own Pongsu Seribu akan dilaksanakan; dan

(b) berapa kos keseluruhan pembinaan PPR tersebut.

Dato’ Khlir bin Mohd Nor [Ketereh] minta Menteri Pertahanan menyatakan bilakah penyelarasan pencen kepada veteran ATM yang berpencen sebelum 2013 akan dilaksanakan. Apakah implikasi kewangan bagi melaksanakan penyelarasan pencen ini.

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Perdana Menteri menyatakan senaraikan cadangan pindaan utama kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan bagaimana ia memberi impak keseimbangan antara prinsip keselamatan rahsia negara dan ketelusan serta akauntabiliti Kerajaan.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan Pekan Padang Serai adalah satu bandar yang sangat pesat membangun. Bandar ini dianggarkan mempunyai 5000 buah rumah kediaman dan lebih 1000 premis perniagaan. Adakah Kementerian bercadang untuk membina sebuah balai bomba yang menjadi keperluan yang sangat penting untuk menangani kecemasan dengan segera. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

- Advertisement -