Perlis sasar 2.8 juta pengunjung 2024/2025

- Advertisement -

KANGAR: Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMP2024/2025) mensasarkan pengunjung sebanyak 2.8 juta hadir ke negeri itu.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pelbagai produk pelancongan bakal diketengahkan bagi menarik pengunjung ke negeri Perlis.

- Advertisement -

“Antara tarikan dan kekuatan terdapat di Perlis berbanding negeri-negeri lain adalah meliputi sektor ekopelancongan dan agropelancongan.

“Kita juga sedang giat menambah baik beberapa fasiliti pelancongan di negeri ini bagi memberi keselesaan buat pengunjung yang bakal melancong nanti.

“Umpamanya seperti di Kuala Perlis, kita merancang untuk menambah lampu-lampu, membina ruang parkin dan sebagainya dalam tempoh beberapa bulan ini,” katanya selepas Majlis Libat Urus Menteri Besar Bersama Pengusaha Rumah Sewa Pelancongan (Homestay) dan Pengusaha Restoran Negeri Perlis di Dewan Warisan, di sini, semalam.

Justeru, katanya, pengusaha inap desa dan restoran dalam negeri perlu memainkan peranan penting dalam membantu menjayakan penganjuran TMP2024/2025.

“Tumpuan utama kerajaan negeri menerusi penganjuran TMP2024/2025 ini adalah bagi memastikan pelancong berpuas hati dengan lokasi percutian dan layanan istimewa daripada seluruh rakyat Perlis.

“Oleh itu rakyat perlu terlibat secara langsung dalam acara ini dengan memastikan negeri ini bersih, makanannya sedap dan tempat penginapan memuaskan,” katanya.

Mengulas lanjut, ujarnya, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) juga berperanan untuk memastikan wujud hubungan antara pengusaha tempat makan dan penginapan di negeri ini bagi menyemarakkan lagi sambutan tahunan itu.

Menurutnya, terdapat inap-inap desa di negeri ini telah berdaftar sebagai persediaan mereka menjelang tahun hadapan.

“Di pihak kerajaan negeri, kita menjadi pemudah cara bagi memastikan pengusaha inap desa dan restoran di negeri ini dapat bersedia menjelang TMP2024/2025 tidak lama lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -