
RIYADH: Pemerintah de facto Arab Saudi telabh memberitahu Presiden Palestin, Mahmud Abbas bahawa beliau sedang berusaha untuk menghalang ‘perkembangan’ konflik daripada merebak selepas serangan mengejut Hamas ke atas Israel pada Sabtu, 7 Okt lalu.
Media kerajaan Saudi, SPA pada awal hari ini, Selasa (10 Okt) melaporkan bahawa Putera Mahkota Mohammed bin Salman juga memberitahu Abbas bahawa kerajaan Teluk kekal ‘Teguh berdiri bersama rakyat Palestin untuk mencapai hak mereka yang sah untuk kehidupan yang layak, mencapai harapan dan aspirasi mereka, dan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan’
Terkejut dengan serangan darat, udara dan laut yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Israel mendakwa 800 warganya maut dan melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza yang telah meningkatkan jumlah kematian dalam kalangan rakyat Palestin kepada 687 orang.
Keganasan yang semakin meningkat itu berlaku di tengah-tengah spekulasi bahawa Saudi, yang tidak pernah mengiktiraf, akan bersetuju untuk menormalisasikan hubungannya dengan Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian, yang mana ia akan mendapatkan jaminan keselamatan daripada Amerika Syarikat serta bantuan membangunkan program nuklear awam di negara itu.
Bagaimanapun Putera Mohammed memberitahu Fox News bulan lalu bahawa isu Palestin adalah ‘sangat penting’ buat Saudi, yang juga rumah kepada tapak paling suci umat Islam di Makkah dan Madinah.
“Kita perlu menyelesaikan bahagian (konflik) itu. Kita perlu meringankan kehidupan rakyat Palestin,” titah Putera Mohammed.
Penganalisis berkata sebarang kemajuan ke arah normalisasi berkenaan kini telah menerima tamparan hebat oleh pertempuran yang berterusan antara Hamas dan Israel.
Putera Mohammed juga menurut laporan SPA, telah mengadakan perbincangan mengenai konflik berkenaan melalui telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Raja Jordan, Abdullah II. – HARAKAHDAILY 10/10/2023




















