
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan (MOF) digesa menyemak dan mempertimbangkan semula keputusan memansuhkan diskaun bayaran balik pinjaman oleh mahasiswa daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 4 Okt lalu mengenai isu pemansuhan diskaun PTPTN.
“Kita telah tidak lagi meneruskan itu (diskaun bayaran balik) dan apa-apa pun perkara mengenainya tertakluk kepada keputusan Kementerian Kewangan.
“Dalam Belanjawan 2023 yang lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac hingga 31 Mei lepas,” katanya.
Tambah Shahir, ia adalah satu tindakan zalim kepada graduan yang baru mula bekerja. Tindakan memansuhkan kemudahan diskaun ini bakal memberikan impak negatif kepada golongan graduan kerana ia tentunya membebankan.
“Tentunya kesan langsung akan mempengaruhi kewangan graduan. Dalam keadaan peluang pekerjaan yang sangat kompetitif dan tidak menentu ketika ini, pemberhentian inisiatif ini (diskaun PTPTN) akan memberikan impak negatif kepada para graduan lepasan universiti.
“Dahulu, kononnya rakyat dihasut untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) untuk hapuskan bayaran PTPTN. Tapi kini, diskaun pula yang dihapuskan,” tegasnya..
Sehubungan itu, tambah beliau lagi pada masa yang sama, KPT perlu menjelaskan bagaimana pemansuhan diskaun ini dapat memberikan kesan positif kepada kementerian dan rakyat.
Sementara, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang mengeluarkan kenyataan bersetuju bahawa tiada keperluan mendesak untuk meneruskan diskaun PTPTN, digesa untuk turun padang mendengar keluh-kesah graduan.
Syahir yang juga merangkap Pengerusi IKATAN Negeri Kelantan mencadangkan agar pemansuhan diskaun PTPTN ini dimasukkan semula dalam belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Justeru itu, katanya lagi, kerajaan pada masa ini perlu melaksanakan penambahbaikan pemberian diskaun secara lebih menyeluruh kepada peminjam PTPTN.
“Sebelum ini diskaun hanya diberikan untuk bayaran separuh nilai pinjaman atau bayaran penuh. Oleh itu, KPT dan PTPTN wajar memberikan diskaun kepada graduan yang membayar bulanan secara konsisten atau auto-deduction,” jelasnya.
Justeru, ujar beliau, mungkin pemberian diskaun boleh juga diberikan kepada mereka yang mahu membuat pembayaran 25 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang PTPTN.
“Oleh yang demikian, pihak kerajaan pada masa ini perlu mengambil kira keutamaan kepada masalah rakyat kerana ramai yang terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini,” katanya.
“Oleh yang demikian, pihak kerajaan pada masa ini perlu mengambil kira keutamaan kepada masalah rakyat kerana ramai yang terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2023




















