UMK, 15 IPT Indonesia tandatangani 15 MoU

- Advertisement -

KOTA BHARU:  Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menandatangani 15 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 15 Institusi Pendidikan Tinggi di Indonesia.

MoU berkenaan melibatkan  jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan di antara kedua-dua buah negara antara UMK dengan Universitas Islam Darul Ulum Lamongan (UNISDA), Universitas Abdurachman Saleh Situbondo (UNARS), Universitas Muhammadiyah Gresik (UMG), Universitas Muhammadiyah Jember (UNMUH Jember), Universitas Muhammadiyah Lomongan (UMLA), dan Universitas Muhammadiyah Palopo (UM Palopo).

- Advertisement -

Turut menandatangani MoU kerjasama tersebut ialah Universitas Muhammadiyah Ponorogo (UMPO), Universitas Muhammadiyah Sidoarja (UMSIDA), Universitas Muhammadiyah Sorong (UNAMIN), Universitas Narotama (UN), Universitas Panca Marga Probolinggo (UPM), Universitas Jember (UNEJ), Universitas Madura (UNIRA), Universitas Islam Negeri Sunan Ampel Surabaya dan Universitas Airlangga.

Majlis menandatangani MoU itu adalah sempena Lawatan Kerja Rasmi Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak ke Lomongan, Gersik dan Surabaya, Indonesia, dalam usaha memperkukuhkan  kerjasama diantara kedua-dua institusi  pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia.

Turut hadir, Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Prof. Madya Dr. Zailani Abdullah; Pengarah Pusat Pendidikan Luar UMK (UMKCEE), Prof. Madya Dr. Muhammad Ashlyzan Razik; dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan Pelajar), Dr. Ahmad Ridhuwan Abdullah. 

Menurut Razli, MoU itu menggariskan rangka kerja dan bidang kerjasama akademik dan penyelidikan bagi kepentingan serta faedah bersama kepada kedua-dua pihak.

“MoU ini  sekaligus dapat meningkatkan keterlihatan  (visibility) UMK di pentas antarabangsa,” ujarnya yang menambah bahawa UMK sentiasa berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak antarabangsa bagi memastikan pelajar, ahli akademik, dan universiti dapat manfaat dan pengalaman yang terbaik daripada sinergi yang diwujudkan oleh kedua-dua pihak. 

“Terdapat enam bidang kerjasama menerusi MoU ini iaitu pertukaran pelajar yang berkelayakan sesuai untuk atau mobiliti (masuk dan keluar).

“Selain itu pertukaran staf akademik dan pensyarah dalam bidang kepakaran masing-masing,  perkongsian kerjasama dalam pembangunan program akademik dan profesional,” jelasnya.

Katanya lagi,  kerjasama dalam aspek pendidikan keusahawanan dan program akademik luar pesisir, kerjasama penyelidikan dan penerbitan bersama dan termasuk bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

Terdahulu, telah berlangsung majlis menandatangani MoU antara UMK dan Universitas Islam Darussalam Lamongan (UNISDA) serta Universitas Muhammadiyah Lomongan (UMLA), di Lomongan, Indonesia. 

Majlis menandatangani MoU telah disempurnakan Razli dan Rektor UNISDA, Muhammad Hafidh Nashrullah, sementara UMLA diwakili oleh Rektornya, Dr Abdul Aziz Alimul Hidayat.

“Menerusi MoU tersebut, UMK berjaya mendapatkan 27 pelajar S3 dari Lamongan, Indonesia, untuk melanjutkan pengajian di UMK.  

“Alhamdulillah, UMK telah menunjukkan kapasitinya melalui pembangunan ekosistem keusahawanan di universiti, disokong oleh 10 fakulti dan beberapa pusat kecemerlangan. 

“UMK melalui Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) merupakan tunjang kepada agenda keusahawanan UMK melalui kekuatannya dalam program akademik dan keusahawanan serta aktiviti penyelidikan dan inovasi,” ujarnya.

Tambah beliau, UMK percaya dengan kerjasama ini kami dapat menjalin ikatan kepercayaan, kerjasama dan aspirasi bersama. 

“Kejayaan perkongsian ini bergantung kepada dedikasi dan usaha kolektif komuniti akademik kita. 

“Ingatlah bahawa, semasa kita bergerak ke hadapan, kita bukan sahaja memajukan kepentingan institusi kita tetapi juga menyumbang kepada kebaikan yang lebih besar dan kemajuan ilmu,” katanya yang turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Rektor UMG, Dr Nadhirotul Laily di atas kesudian menjadi tuan rumah bagi majlis MoU berkenaan. – HARAKAHDAILY  14/9/2023

- Advertisement -