‘Pemberian tender benih padi tak tepati sasaran’

- Advertisement -

JERAI: Kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan wajar meneliti kembali pemberian tender keluarkan benih padi yang didakwa tidak menepati sasaran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pemberian tender kepada syarikat atau kilang padi tidak tepat kerana kilang menghasilkan beras bukan benih. 

- Advertisement -

“Saya tidak pasti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ini beri tender keluarkan benih padi kepada pihak mana. 

“Tetapi salah satu yang diminta dahulu adalah kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Pertubuhan Kebangsaan Peladang (NAFAS) ataupun Kumpulan Peladang Kawasan (KPK),” jelasnya. 

Menurut Sanusi, MADA mempunyai petak untuk hasilkan benih dan berbanding kilang padi yang bukan pengeluar benih padi. 

Justeru, tegas beliau, isu berbangkit perlu dilihat dan disemak semula terutama di sektor pengeluaran beras. 

Sanusi berkata demikian selepas Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf LZNK, Padang Lumat, semalam.

LZNK katanya, boleh dijadikan model dalam mengeluarkan benih padi sendiri sebagai langkah menangani masalah isu yang datang sama ada input pertanian dan benih padi.

“Benih padi yang dikeluarkan oleh LZNK iaitu Vareti NR297 adalah kegunaan projek lembaga itu sendiri mengendalikan Smart Sawah Berskala Besar.

“Saya difahamkan benih subsidi akan meningkat harga daripada RM35 ke RM40. Inipun daripada rantaian monopoli,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau turut berharap isu membabitkan beras segera selesai dan harganya dapat diturunkan ke kadar biasa. 

“Kita terima laporan dari media ada pihak yang membuat penukaran pembungkus beras. Jadi saya harap pihak berkuasa mengambil perhatian akan hal ini.

“Dulu saya sebut ada kartel padi, semua orang tidak percaya tetapi kita dapat tengok sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY  14/9/2023

- Advertisement -