
SUDAH lama sejarah kita dicedok dari kerangka dan sudut pandang Barat yang ternyata berat sebelah. Hal ini termasuklah dalam merujuk isi kandungan kritikan yang dibawakan Munshi Abdullah terhadap orang Melayu pada sekitar abad ke-17.
Sudah terdapat banyak kritikan yang bertujuan menilai semula gelaran Bapa Kesusasteraan Melayu Moden yang diberikan kepada Munshi Abdullah antaranya termasuklah:
(1) Munshi Abdullah adalah ‘Bapa Kesusasteraan Moden’ menurut kerangka Barat sahaja
Sebuah kertas kajian oleh Mohd Zariat Abdul Rani dari Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi dari UPM telah merumuskan pengiktirafan ‘Bapa Kesusasteraan Moden’ kepada Munshi Abdullah sangat berkait rapat dengan sudut pandang Barat yang ditunjangi falsafah Sekularisme dan Modenisme.
Latar belakang ideologi yang mendasari pemikiran Barat inilah yang menyumbang kepada ‘moden’nya Munshi Abdullah pada pandangan tokoh Barat sehinggakan diberikan pengiktirafan Bapa Kesusasteraan Moden oleh mereka kepada Munshi Abdullah.
Dua ideologi ini turut menyumbang kepada kerangka pemikiran yang skeptik terhadap agama sebagaimana ditonjolkan oleh Munshi Abdullah dalam kritikan beliau terhadap orang Melayu.
Sebagai kumpulan manusia dari wilayah yang membangun maju sebagai sebuah tamadun Islam, kepulauan Melayu sudah tentu mempunyai sudut pandang berbeza sekali dari ‘kemodenan’ yang dimaksudkan Barat serta yang mereka iktiraf ke atas Munshi Abdullah.
(2) Munshi Abdullah dirujuk dari segi ilmu teknikal bahasa, bukan isi kandungan kritikannya
Munshi Abdullah tidak dinafikan mempunyai sumbangan tersendiri terhadap dunia kesusasteraan Melayu moden seperti penggunaan aspek bahasa yang baharu pada era itu serta teknik kewartawanan melalui laporan teliti terhadap pemerhatian sekeliling.
Namun dari segi isi kandungannya tetap perlu diwaspadai. Menurut Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh kritikan yang dilontarkan Munshi Abdullah sangat dipengaruhi kerangka dan piawai pemikiran bangsa penjajah.
Maka apakah masih ada nilai sah pada kritikan beliau sedangkan permainan penjajah dalam isu catatan sejarah ini telah lama kita maklum bertujuan menyemai sifat inferioriti kompleks?
(3) Tindakan Munshi Abdullah yang boleh dipersoalkan
Munshi Abdullah memainkan peranan besar sebagai antara penyumbang awal dalam usaha menterjemah Bible ke dalam Bahasa Melayu.
Beberapa sumber menyatakan secara jelas peranan beliau, antaranya dalam sebuah petikan artikel bertajuk The History of the Translation of the Bible into Malay oleh Robert Hunt yang diterbitkan dalam Journal Of The Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society:
“it is no exaggeration to say that for the forty years after this interview, Abdullah would dominate efforts to translate the Bible into Malay, despite the fact that his contribution was rarely acknowledged publicly and was sometimes hidden.”
“Tidak boleh dinafikan, Munshi Abdullah telah memberi fokus pada usaha menterjemah Bible ke dalam Bahasa Melayu 40 tahun lamanya setelah pertemuan beliau bersama William Milne. Meskipun, usaha dan sumbangan beliau jarang sekali diiktiraf dan ada masanya telah disembunyikan.”
Maka berdasarkan sebahagian hujah ini, kita tidak boleh menafikan pendirian pihak yang mengkritik Munshi Abdullah.
Sudah jelas kecenderungan dan bias tokoh ini dalam mengkritik kaum Peribumi Melayu yang dalam masa sama langsung tidak menyentuh dosa dan jenayah yang dilakukan oleh bangsa penjajah terhadap orang Melayu yang memungkinkan lahirnya situasi orang Melayu yang dikritik oleh Munshi Abdullah.
Maka apakah salah kita sebagai umat Islam kini mengambil pendirian berjaga-jaga dan tegas terhadap tokoh sebegini?
TAMAR DJAJA – HARAKAHDAILY 22/8/2023
Rujukan:
[1] https://online.anyflip.com/lomot/kibw/mobile/
[2] https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/12/634543/pemikiran-abdullah-munshi-dipengaruhi-kolonial
[3] The History of the Translation of the Bible into Malay by Robert Hunt
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















