Ahli Umno akan mengundi PN di Simpang Jeram

Rafiei Mustapha
- Advertisement -

MUAR: Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha menzahirkan keyakinan bahawa ahli-ahli Umno akan mengundi PN pada Pilihan Raya Kecil Dun Simpang Jeram pada kali ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, ini adalah manifestasi kemarahan mereka terhadap tindakan pucuk pimpinan Umno yang telah mengkhianati perjuangan sendiri.

“Yang bawah-bawah (akar umbi) ini memang mereka sebenarnya sekarang ini rasa bencinya, rasa marahnya kepada pimpinan Umno lebih besar, lebih dahsyat daripada kemarahan orang-orang PAS orang-orang Bersatu terhadap Umno.

“Kerana apa? Kerana mereka dikhianati secara terang-terang, ditipu siang-siang, lain janji di PAU (perhimpunan agung Umno), lain yang berlaku,” ujar beliau.

Tambahnya, apa yang berlaku itu bukanlah kebetulan tetapi adalah ketentuan Allah bermungkinan untuk mengurniakan kemenangan kepada PERIKATAN NASIONAL.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam majlis ‘Taujihat Tiga Pesuruhjaya sempena PRK Johor’ yang berlangsung di Markaz PAS Kawasan Bakri, di sini, malam tadi. Yang turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS Melaka dan Johor, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Ustaz Abdullah Husin.

Kata Rafiei yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, sokongan daripada ahli-ahli Umno akan menjadi ramuan utama untuk menjana kemenangan di PRK DUN Simpang Jeram nanti.

Beliau berkata, perkara itu telah berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan yang lepas di DUN Pilah yang ditandinginya.

Katanya lagi, walaupun di DUN Pilah pada masa ini sebenarnya tidak ada satu pun cawangan PAS, namun hasil daripada mendekati Umno, beliau kalah dengan majoriti 1,079 undi apabila mendapat 5,143 berbanding 6,222 undi diperolehi calon lawan.

“Alhamdulillah mungkin Allah nak permudahkan, selepas saya mendekati ketua-ketua Umno bahagian ini, selepas itu menerima panggilan telefon mengatakan saya nak jumpa.

“Kami ada 10 cawangan Umno nak jumpa, juga sekarang. Semangat! Kenapa nak jumpa? Tujuannya hanya untuk menyatakan sokongan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 20/6/2023

- Advertisement -