11 kejayaan YIK di bawah Engku Rujhan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelbagai kejayaan ditempa Yayasan Islam Kelantan (YIK) selama tiga tahun di bawah Pengarahnya, Engku Rajhan Engku Ismail di peringkat kurikulum dan ko-kurikulum.

- Advertisement -

Anggota Exco kerajaan negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, 11 kejayaan memberangsangkan YIK termasuk meningkatkan lagi kecemerlangan sekolah agama kerajaan negeri yang sudah terkenal lebih 33 tahun.

Katanya, YIK berjaya melahirkan graduan tahfiz setiap tahun termasuk 326 Graduasi Tahfiz pada tahun 2023, di samping berjaya mengekalkan Pencapaian Audit Bersih setiap tahun sejak tahun 2009.

“Di peringkat ko-kurikulum juga YIK yang mewakili Kontijen Kelantan seramai 145 orang muncul johan keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Agama Malaysia (KESSUMA) 2022 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.

“Selain itu YIK juga mendapat Anugerah Pengurusan SPBT Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2022 di mana SMU (A) Azhariah, Melor mewakili negeri kita mendapat tempat ketiga dalam kategori sekolah agama negeri bagi pengurusan SPBT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perpisahan Pengarah YIK Engku Rajhan anjuran Persidangan Pengetua YIK, di Grand River View di sini semalam.

Turut hadir Presiden Majlis Pengetua, Ustaz Mohamad dan Pengerusi Persidangan Pengetua Muslim Che Yusoff serta pegawai YIK.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada pengetua-pengetua dan penolong kanan sekolah YIK yang hadir pada majlis itu.

Wan Roslan berkata, kehadiran mereka membuktikan betapa kasih dan sayangnya guru dan sekolah YIK kepada Engku Rajhan.

“Orang yang baik akan sentiasa dihargai orang lain, mereka akan kenang kebaikan sampai bila-bila. Biarpun sudah bersara Engku Rujhan boleh terus membantu masyarakat menerusi bidang yang pernah diceburi,” ujarnya.

Sementara itu, Engku Rajhan ketika berucap pada majlis itu memohon kemaafan di atas kekurangan sepanjang mengendalikan tanggungjawab itu selama tiga tahun di YIK.

Katanya, beliau cuba membuat sesuatu yang terbaik untuk YIK termasuk meningkatkan prestasi pelajar dalam pelajaran atau ko-kurikulum.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk kakitangan YIK, guru-guru di atas kerjasama yang diberikan selama ini. Terima kasih sekali lagi dan maaf andai ada yang terkurang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/8/2023

- Advertisement -