Pesanan Ustaz Wadi Annuar kepada anak muda

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayub menyeru kepada anak-anak muda supaya menyusun jadual harian untuk menuntut ilmu fardu ain.

- Advertisement -

Katanya, mereka perlu melihat jadual mingguan ada atau tidak seminggu sekali untuk mempelajari ilmu yang merangkumi fekah, tauhid dan tasawuf.

“Sebab tu saya nasihatkan diri saya dan kita semua, tengok balik jadual mingguan kita terutama anak-anak muda mengenai ilmu fardu ain, ilmu feqah, tauhid, tasawuf ada tak seminggu sekali.

“Minggu pertama ada tak kita mengaji feqah, minggu kedua tauhid, minggu ketiga ada tak kita ambil sejam kita belajar akhlak dan juga tasawuf, insya-Allah,” ujarnya yang lebih dikenali Ustaz Wadi Annuar.

Beliau menyatakan demikian selaku ahli panel pada Himpunan Bicara Murabbi Ummah Terengganu Sejahtera sempena Hari Kemerdekaan di Dataran Jambatan Angkat, di sini malam tadi. Turut menjadi ahli panel ialah Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Ahmad Rizam Ghazali sementara Ustaz Kamaruzaman Abdullah bertindak sebagai moderator. (Foto atas)

Justeru, beliau menyeru kepada hadirin supaya memasang niat dan berazam menyusun jadual untuk menuntut ilmu berkenaan.

“Pasangkan niat, azam susun jadual nak belajar ilmu, nak keluar dari kejahilan kepada cahaya ilmu,” ujarnya lagi.

Ustaz Wadi yang memetik sebuah hadis yang bermaksud: “sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga”.

“Allah bukakan hatinya, ringankan tangannya, ringankan lidahnya, selalu bukakan hidayah kepada hatinya untuk melakukan kebaikan, kebajikan yang akhirnya yang memudahkan dia dimasukkan ke dalam syurga,” katanya.

Beliau berharap majlis yang diadakan itu sebagai pencetus kepada setiap umat Nabi Muhammad SAW untuk menghadiri majlis ilmu kerana ilmu memacu kegemilangan dan ketamadunan.

“Tuan-tuan susun masa untuk belajar, cari masjid, letak jadual,” ujar beliau.

Beliau mengambil contoh jadual Ustaz Azhar sahaja sekitar 20 kuliah dalam sebulan, ditambah lagi dengan surau dan masjid di negeri ini aktif dengan majlis ilmu.

“Kerana dalam kehidupan 24 jam, banyak benda yang kita nak beritahu kepada isteri dan anak-anak, ini hukumnya halal, haram, sah, batal dan sebagainya,” tambahnya.

Ini, ujar beliau supaya anak dan isteri serta ahli keluarga termasuk adik beradik tahu sempadan yang mana boleh dan tidak boleh dilakukan dalam kehidupan. – HARAKAHDAILY 20/8/2023

- Advertisement -