
ALOR SETAR: Kerajaan negeri yang berani berkata ‘tidak’ kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sangat penting untuk berdepan kesombongan pemerintahannya ketika ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, senario tidak tenteram dan tidak aman di dalam negara ketika ini adalah kerana sikap terpilih yang dilakukan oleh kepimpinan Anwar.
“Kerajaan Persekutuan mengambil sikap hanya melayani orang yang kata ‘Yes!’ kat depa. Orang kata ‘No’, orang yang ada jati diri kuat, tak mahu turut ‘stail’ depa, depa serang, depa hentam, depa fitnah hari-hari.
“Keadaan ni tidak membawa keamanan. Mereka harus berjiwa besar. Maka harus menerima perbezaan. Waktu kita cakap baik, depa tak layan, waktu kita cakap kasar sikit, depa kata kita bongkak sombong.
“Sebenarnya yang sombong itu depa. Pekak pun depa,” bidasnya beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL terhadap Pengerusi Pakatan Harapan itu.
Kedah kata beliau, bukan mengharapkan bantuan atau peruntukan atau duit daripada Kerajaan Persekutuan kerana mempunyai cara sendiri untuk membangun sebagai bangsa yang berjiwa merdeka.
Bagaimanapun ujar Sanusi, sekiranya diberikan, Kedah akan menerimanya kerana sememangnya kewajiban Pusat itu termaktub dalam perjanjian pembentukan Persekutuan 1963.
Oleh itu ujarnya lagi, sekalipun Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan adalah daripada parti berbeza pegangan politik, keadilan kepada negeri mesti diberikan sebagaimana peruntukan termaktub.
Kerana itulah menurutnya, kempen dilakukan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) perlu ‘Kalih Bagi Sama (KBS)’ bukan sahaja tidak cerdik, malah tidak benar mengikut segala tercatat dalam Perlembagaan.
Tegas Sanusi, pemerintahan dan pentadbiran kerajaan mesti berlangsung menurut Perlembagaan dan bukannya mengikut sesuka hati parti politik hendak berbuat dengan sewenang-wenangnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2023




















