
SHAH ALAM: Bekas Pengerusi Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar menasihati semua rakannya yang masih berada di dalam Umno agar cukup-cukuplah tertipu oleh para pemimpin parti itu.
Menurut beliau, kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) hakikatnya telah dirancang sejak tahun 2020 lagi tetapi pimpinan Umno memainkan slogan ‘No Anwar, No DAP’.
Beliau mengemukakan beberapa isu yang menjadikan BN sebagai sasaran oleh PH dalam mempengaruhi rakyat termasuk menggunakan gelaran penyamun, perompak dan sebagainya.
“Kerana hujah-hujah macam inilah kalah BN. Yang peliknya parti yang bantai kita siang malam yang menyebabkan punca kita kalah, (tetapi) akhirnya kita pergi cium punggung dia (PH),” bidasnya.
Beliau berucap demikian pada ceramah sempena Jelajah Selangor Baharu ‘Kita Bangkit!’ anjuran PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor yang diadakan di Seksyen 18, di sini semalam.
Tegas Tan Sri Noh, beliau tidak akan bertanding pada PRN ini tetapi akan meneruskan perjuangannya iaitulah untuk memastikan PH yang di dalamnya ada DAP dikalahkan.
Katanya, perkara tersebut bukan mustahil di mana sejarah telah membuktikan bermula dari parti Perikatan yang berlambangkan kapal layar, diubah kepada dacing setelah kuasa Melayu tergugat dari isu 13 Mei 1969.
BN ceritanya, telah disertai sama oleh PAS dan GERAKAN, tetapi tidak oleh DAP, namun malangnya kini apabila Umno bersama DAP, lambang Dacing juga tidak kelihatan.
“Kalau dulu BN dan Umno ini merupakan rumah untuk perjuangkan orang-orang Melayu terutamanya, hari ini rumah ini telah dibakar oleh pemimpin Umno sendiri. Ayuh pindahlah ke rumah baru iaitu PN,” serunya.
Beliau menjangkakan Selangor akan sekali lagi mengalami tsunami politik sebagaimana BN menang pada PRU 2004 dahulu di semua 22 Parlimen dan 54 daripada 56 DUN.
Namun sambungnya, dalam masa empat tahun sahaja selepas itu, sekali lagi tsunami politik PRU 2008 menyebabkan BN tinggal 5 Parlimen dan 20 DUN sahaja.
Oleh itu serunya, jika tsunami politik seperti itu boleh menolak BN, maka pada PRN nanti rakyat akan mengulangi tsunami untuk menolak PH. – HARAKAHDAILY 27/6/2023




















