
SHAH ALAM: Kerajaan madani seharusnya mengakui bahawa wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah milik rakyat dan bukannya kerajaan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketika PERIKATAN NASIONAL (PN) memegang pentadbiran negara dalam era pandemik Covid-19 melanda, rakyat diberi kebenaran mengeluarkan wang KWSP kerana kerajaan PN faham akan kesusahan yang dilalui rakyat termasuklah pasca (selepas) daripada krisis tersebut.
“Namun, sekarang apabila rakyat (di bawah kerajaan PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim) nak buat pengeluaran KWSP tak boleh, kena pergi pinjam bank. Ini Menteri Kewangan (Anwar) jenis apa?” katanya.
Beliau juga tidak menafikan bahawa KWSP adalah wang simpanan untuk usia tua tetapi dalam keadaan yang tidak dapat dijangka seperti Covid-19, seharusnya turut mempunyai penyelesaian di luar jangkaan.
“Seharusnya apabila berlakunya keadaan yang belum pernah berlaku (unprecedented things) maka penyelesaiannya juga seharusnya berbentuk perkara yang belum pernah dilakukan (unprecedented solutions), itu pun kalau dia bijak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Shah Alam di kawasan parkir Flat Seksyen 18 18/47, di sini, malam tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda PN Selangor merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam, Mohamed Sukri Omar; Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Ahmad Yunus Hairi; dan mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Menurut Azmin lagi, pemimpin yang jujur dan hala tuju yang jelas sentiasa amat diperlukan bukan sahaja bagi negara tetapi juga dalam peringkat negeri ketika menghadapi sebarang krisis.
“Seperti mana kita sedia maklum, negara kita berada dalam keadaan yang gawat, dan apabila negara serta negeri gawat kita memerlukan dua perkara yang penting untuk menyelesaikan masalah rakyat iaitu pemimpin yang jujur dan hala tuju yang jelas.
“Kedua-dua perkara ini tidak ada dalam Pakatan Harapan (PH), DAP dan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan kejujuran yang ada pada kerajaan PH yang memerintah Putrajaya kerana pernah menaburkan janji-janji manis sebelum diberi mandat sebagai kerajaan termasuklah penurunan segera harga minyak.
“Kita semua sedia maklum ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pelbagai janji manis diberikan oleh Pakatan Harapan untuk memancing pengundi tetapi hari ini dapat lihat tiada satu pun janji yang ditunaikan.
“Justeru, saya berharap supaya orang ramai dapat melihat hakikat sebenar pemerintahan kerajaan terkini dan membantu PN dalam memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 supaya dapat membina semula martabat setiap rakyat di negeri Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2023




















