Ringgit akan jatuh sama harga menu rahmah?

Azmin Ali ketika berucap dalam dalam Konvensyen Perikatan Nasional Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam pada, malam 24 Jun 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emri)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang jatuh teruk berbanding dolar Amerika Syarikat ketika ini dibimbangi akan menjadi sama dengan nilai menu rahmah (RM5).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, nilai mata wang negara ketika ini telah jatuh teruk iaitu 1 Dolar AS bersamaan RM4.68 semenjak zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

- Advertisement -

“Ini merupakan kejatuhan yang paling teruk dalam sejarah Malaysia yang nilai ringgit sekarang ialah RM4.68 dan kami ada kupas dalam PAS Convention, dalam beberapa hari lagi nilai ringgit (dibimbangi) sama dengan nilai menu rahmah,” katanya.

Beliau menyatakan kejatuhan ringgit tersebut menyebabkan harga (barangan) import semakin mahal dan memberi kesan yang buruk kepada ramai peniaga dan masyarakat (Malaysia).

“Kesannya, peniaga dan masyarakat sengsara, ramai orang di Selangor dan ahli perniagaan akan menambah kos (perbelanjaan) mereka dan bila tanya kepada kerajaan apakah solusinya..(jawapannya), tak ada tetapi mereka (cuma) ada formula,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Perikatan Nasional Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Ideal, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Ketua Pemuda Perikatan Nasional yang juga Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari; Timbalan Presiden Perikatan Nasional, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu; dan Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Dominic Lau Hoe Chai.

Ahmad Fadhli pula berkata, kerajaan madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mengurus negara dengan baik, termasuk membabitkan nilai mata wang RM yang terus merudum sehingga mencapai harga menu Rahmah berbanding dolar AS.

“Harga ringgit Malaysia berdepan penurunan sehingga (menyamai) ‘harga Rahmah’ RM5. Kalau sampai harga rahmah saya nak suruh ‘menteri rahmah’ buat pengumuman besar-besaran di Parlimen,” katanya.

Menurutnya, justeru pilihan raya negeri (PRN) Selangor adalah penting bagi mengubah kerajaan persekutuan yang kini dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Azmin dalam ucapannya  turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya memfokuskan formula ekonomi semata-mata (formula Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli) berbanding dengan solusi yang berkesan dalam menghadapi masalah-masalah tersebut.

“Rakyat tidak mahu formula ekonomi tetapi mahukan pelaksanaan dan penyelesaian di mana segala penyelesaian tersebut ada di Perikatan Nasional.

“Kalau mahu ringgit bertambah kukuh, pastikan enam negeri yang menghadapi pilihan raya ini kita sapu bersih enam buah negeri ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2023

- Advertisement -