
KUALA LUMPUR: Proses pemutihan sekolah agama persendirian dan tahfiz yang dilaksanakan di Selangor oleh kerajaan negeri itu pada ketika ini hanya melibatkan ahli di bawah di bawah Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), tetapi bukan Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) yang bernaung di bawah Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS).
Timbalan Pengerusi GASIS, Ustaz Fairul Nafadzli berkata, proses pemutihan yang disebutkan oleh kerajaan Selangor melalui kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Ahmad Mughni pada 16 Jun lalu itu tidak termasuk SIP (di bawah GASIS) yang terdiri daripada Sekolah Rendah Islam (SRI), Sekolah Rendah Islam Integrasi (SRII) dan Sekolah Menengah Islam (SMI).
“Kesemua Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) di bawah GASIS itu tidak termasuk dalam senarai pemutihan yang dilaksanakan oleh kerajaan Selangor. Hanya sekolah yang mendapat keahlian PITAS sahaja yang disenaraikan dalam proses pemutihan tersebut,” tegas beliau kepada HarakahDaily.
Beliau sehubungan itu memberikan maklumat bahawa bilangan SIP yang menjadi ahli GASIS berjumlah 171 buah yang merangkumi SRI sebanyak 73 buah, SRII (75 buah), SMI (17 buah) dan lain-lain (5 buah); dengan bilangan keseluruhan murid berjumlah 30,819 orang dan bilangan keseluruhan guru ialah 2,479 orang.
Namun, apabila PITAS mengeluarkan kenyataan media melalui Pengerusinya, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian semalam, ia dikhuatiri boleh mengelirukan umum kerana sekolah agama persendirian di bawah PITAS tidak sama dengan yang bernaung di bawah GASIS.
Sedangkan sekolah agama persendirian yang menghadapi masalah disaman sebagaimana dilaporkan HarakahDaily sebelum ini, (Sekolah agama Islam di Selangor didenda PBT RM10,000), yang menghadapi dikenakan caj yang tinggi menyebabkan proses pendaftaran semula sukar dilakukan, khususnya di PBT seperti di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), dan membuatkan SIP terbabit terancam dan kemungkinan bakal ditutup operasinya, adalah membabitkan Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) di bawah GASIS.
Terdahulu, HarakahDaily semalam, yang merujuk kepada laporan media tempatan melaporkan (Kes sekolah agama Islam di Selangor sedia ke mahkamah) Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebagai berkata bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari telah mengarahkan sebuah Jawatankuasa Pasukan Petugas ditubuhkan bagi membantu menyelaras proses pemutihan semua sekolah agama persendirian (SIP) di Selangor.
Dalam laporan berita itu, Mohd Zawawi yang mempengerusikan jawatankuasa berkenaan juga berkata, semua sekolah agama telah diberi tempoh masa dua tahun untuk memenuhi syarat ditetapkan.
“Namun 416 sekolah memohon tempoh masa dilanjutkan dan kami memperuntukkan tambahan tiga tahun bagi program pemutihan berkenaan,” ujarnya.
Mengulas dan menjelaskan lebih lanjut sebagai respons kepada kenyataan media Mohd Zawawi itu, ujar Ustaz Fairul yang juga merupakan Yang Di-Pertua (YDP) Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (IGuru), data yang diumumkan oleh Mohd Zawawi bahawa sebanyak 416 buah sekolah yang terlibat itu sebenarnya tidak melibatkan senarai sekolah-sekolah Islam persendirian (SIP) di bawah GASIS.
“Jadi, pihak kami memohon agar sekolah Islam persendirian (SIP) terdiri daripada keahlian GASIS juga diberikan keutamaan dan disenaraikan juga di dalam syarat syarat pemutihan kerajaan negeri Selangor (sepertimana ahli-ahli PITAS),” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2023




















