
KOTA BHARU: Kelantan diyakini mempunyai masa depan yang lebih maju jika terus memperkemaskan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ di samping mempertingkatkan profesionalisme kecekapan pentadbiran, pengurusan dan pendekatannya.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, negeri ini telah menyediakan pasukan pelapis untuk masa depan bukan sahaja daripada kalangan asatizah, tetapi juga pelbagai bidang profesional.
Menurut beliau, Kelantan mempunyai banyak perancangan bersifat jangka panjang misalnya pembangunan wilayah seperti Lembah Sireh, Bandar Dato’ Bentara, Bandar Baru Ciku, Bandar Baru Nilam Perdana dan Bandar Baru Bukit Kurung.
Selain terbaharu diluluskan beritahunya, Bandar Halaqat di mana semua itu turut membuka banyak peluang pekerjaan bersama memberi pendapatan yang lebih tinggi buat anak-anak negeri Kelantan.
“Tapi oleh kerana projek ni besar, jadi kita tak boleh tengok dalam masa yang singkat. Dia perlu masa dua, tiga tahun,” ketika ditemubual dalam rancangan 45 Minit Bersama DNA: 33 Tahun Integriti Dipertahan yang disiarkan secara langsung di KelantanTV, kelmarin.
Katanya, bersama pembangunan wilayah itu juga Kelantan memerlukan pembangunan infrastruktur seperti pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, naik taraf Pelabuhan Tok Bali dan Laluan Rel Pantai Timur.
Kelantan bahkan maklum beliau, dengan pembangunan-pembangunan diadakan itu turut meluluskan pemilikan tanah penduduk untuk kediaman termasuk melibatkan tanah rancangan seperti FELCRA dan KESEDAR serta lainnya.
Dato’ Mohd Amar optimis Kelantan mampu menghadapi cabaran kewangan dengan lebih baik kerana Allah SWT mengurniakan rahmat dari potensi-potensi sumber mineral yang banyak di negeri ini.
Terbaharu beritahunya, unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) yang boleh memberi pendapatan tinggi, selain hasil minyak dan gas di mana kelak Kelantan tidak lagi perlu menebang balak.
“Sekarang ni hasil kita daripada kayu balak ni duduk nombor tiga sebenarnya, bukan yang utama di Kelantan ni. Makna yang utama kita ni sumber lain. Sumber daripada cukai tanah dan juga daripada servis sektor perkhidmatan.
“Jadi kalau sumber mineral ni kita boleh letak satu dasar yang mantap dan kemudian dengan pendekatan yang betul, saya percaya dia akan memberikan hasil yang tinggi kepada kerajaan.
“Macam dengan emas, kita (Kelantan) ni di Malaysia ni nombor tiga. Nombor tiga, pengeluar emas yang ketiga besar. Syarikat yang join venture CNMC, satu-satunya syarikat yang berada di Bursa Saham yang fokus kepada emas betul.
“Satu-satunya syarikat. Maknanya potensi itu besar. Itu baru emas saja. Kita tak sebut lagi benda-benda lain. Pada waktu itu (masa depan) kita boleh membangunkan negeri ini dengan lebih baik dan tidak perlu bergantung kepada sumber-sumber yang lain,” yakini beliau.
Menyentuh mengenai pelaburan, katanya ramai pelabur berminat dan bersetuju untuk ke Kelantan tetapi banyak faktor menjadi halangan yang antara terbesarnya adalah sekatan kelulusan di pihak Kerajaan Persekutuan.
Tegasnya, pembangunan insan yang dipersiapkan untuk semua itu berteraskan pegangan kepada Islam telahpun menunjukkan kejayaan misalnya perolehan cemerlang kalangan pelajar dalam keputusan peperiksaan akademik diumumkan baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 15/6/2023




















