Logo melawat Perlis: Tiada campur tangan pihak luar

Wan Badariah Wan Saad
- Advertisement -

KANGAR: Penjurian pemilihan logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dilakukan secara profesional dan tanpa campur tangan mana-mana pihak luar, selain daripada barisan juri yang telah dilantik.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, juri yang dilantik bagi melakukan pemilihan tersebut juga tidak mengetahui siapa calon yang menyertai pertandingan itu kerana penilaian dibuat berpandukan kepada nombor yang dipamerkan pada reka bentuk berkenaan.

“Penilaian logo juga dilakukan oleh juri-juri berpengalaman membabitkan jurugambar profesional dan individu yang berkelayakan dalam bidang seni grafik.

“Pemilihan juri ini bukannya terdiri daripada orang-orang biasa dan keputusan mereka buat adalah muktamad tanpa campur tangan daripada mana-mana Exco mahu pun kerajaan negeri sendiri,” katanya.

Logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang dipamerkan menerusi laman Facebook Tourism of Perlis Official dikatakan mendapat kritikan ramai pihak termasuk Timbalan Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad.

Beliau menyifatkan reka bentuk logo itu kelihatan agak ‘cincai’ berbanding beberapa penyertaan lain.

Menurut Wan Badariah lagi, hebahan berhubung penganjuran pertandingan mencipta logo itu telah dipromosikan melalui laman sosial sebelum ini dan mendapat perkongsian ramai pihak.

“Cuma penyertaan bagi pertandingan itu mungkin tidak banyak namun kita sememangnya telah giat melakukan promosi sebelum ini sebagai hebahan kepada orang ramai.

“Kita juga telah menubuhkan seketariat dan akan bermesyuarat bersama bagi membincangkan secara lanjut mengenai promosi Tahun Melawat Perlis ini,” katanya lagi.

Logo Tahun Melawat Perlis 2024-2025. (FOTO: Facebook Tourism of Perlis)

Dalam pada itu, ujarnya, syarat penyertaan pertandingan berkenaan adalah terbuka kepada seluruh rakyat negeri termasuk  kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Tidak ada penggunaan ‘kabel’ (‘orang dalam’) atau sebaliknya kerana syarat pertandingan adalah terbuka kepada semua,” katarnya.

Pihaknya tidak merancang untuk menukar pemilihan logo berkenaan memandangkan keputusan dibuat oleh setiap juri adalah muktamad.

“Promosi bagi penganjuran Tahun Melawat Perlis juga telah mula menggunakan logo berkenaan menerusi penyediaan poster dan papan iklan,” jelas beliau

Tambah Wan Badariah, kerajaan negeri mensasarkan menerima seramai 3.5 juta pelancong ke negeri itu menerusi penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

“Secara tidak langsung ia bakal membantu memberi limpahan manfaat buat peniaga kecil mahu pun pengusaha inap desa di negeri ini.

“Dalam rangka ini, kita juga akan cuba mempromosi Tahun Melawat Perlis di negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia bagi menarik lebih ramai pelancong ke sini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2023

- Advertisement -