
KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang dialami di Kuala Lumpur pada hari ini, Selasa 30 Mei yang mencecah suhu maksimum 35 darjah celcius dijangka berlanjutan sehingga 5 Jun depan.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) yang dikemaskini sehingga jam 3 petang hari ini, 30 Mei 2023, tiada langsung hujan akan turun pada hari ini dengan suhu diramalkan antara 25 darjah celcius hingga 35 darjah celcius.
Bagaimanapun ribut petir di satu atau dua tempat di Kuala Lumpur diramalkan berlaku bermula pada petang 1 Jun hingga 5 Jun ini, namun tiada hujan yang turun pada sebelah pagi dan malam dalam tempoh berkenaan.
Sementara bagi cuaca di seluruh Malaysia, kenyataan Met Malaysia yang dikemaskini sehingga jam 3 petang pada hari ini, 30 Mei, mengeluarkan amaran ribut petir/hujan lebat hanya berlaku di Bintulu, Sarawak (Bintulu dan Sebauh) dan Miri (Subis, Meluru, Miri dan Marudi).
Terdahulu, pada 11 Mei lalu, Met Malaysia mengesan 15 kawasan di negara ini yang merekodkan suhu maksimum harian mencecah 37 darjah Celcius sekurang-kurang selama tiga hari-hari berturut.
Kawasan yang berada pada tahap berjaga-jaga itu melibatkan 12 kawasan di semenanjung Malaysia, dua kawasan di Sabah dan satu kawasan di Sarawak.
“12 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 atau berjaga-Jaga iaitu di Pasir Mas, Padang Terap, Kuala Muda, Baling, Bandar Baru, Hulu Perak, Selama, Matang dan Larut, Kinta, Manjung, Batang Padang, Kuala Selangor dan Jempol.
“Dua kawasan di Sabah berada pada tahap 1 atau berjaga-jaga iaitu Beaufort dan Kinabatangan, manakala satu kawasan di Sarawak iaitu di Mukah,” ujar kenyataan Met Malaysia.
Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas harian boleh rujuk di laman web Met Malaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/. – HARAKAHDAILY 30/5/2023




















