
KOTA BHARU: PAS akan mempertahankan status quo dengan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato Mohd Amar Abdullah berkata, lapan kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagaimana PRU15.
“Kita akan guna formula sebagaimana PRU15 di mana kerusi Parlimen yang dimenangi BN diserahkan kepada Bersatu untuk bertanding.
“Bagaimanapun keputusan itu hanya akan ditentukan pihak pimpinan kerana mungkin satu dua kerusi Dun akan diputuskan pucuk pimpinan,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Rapat Pemerksaan Kepimpinan Wanita Kelantan 2023 di Pusat Tarbiah Mardhiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini semalam.
Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, timbalannya Dato’ Mumtaz Md Nawi dan lain-lain pimpinan muslimat.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar, persiapan PRN kini peringkat maksimum dan ia berjalan dengan lancar bagi menghadapi PRN yang akan diadakan sama ada Julai atau Ogos.
“Cuma kita kena pertingkat lagi isu yang perlu tangani bagi memenangi hati rakyat dan menangkis dakwaan pihak lawan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/5/2023




















