
KUALA LUMPUR: Sesiapa sahaja yang dilantik sebagai pemimpin sama ada negeri atau persekutuan wajib menjaga kebajikan rakyat walau apa pun keadaan.
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata mana-mana kerajaan sekalipun tidak boleh memberi alasan untuk mengelak melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.
Beliau menegaskan demikian sebagai respons terhadap ikrar Perikatan Nasional (PN) yang beraza, membantu rakyat dalam menghadapi masalah industri hutang.
“Rakyat seharusnya dibantu dengan sewajarnya dan kerajaan tidak boleh bersifat menanam tebu di tepi bibir.
“Oleh sebab itu, rakyat kena berjaga-jaga dalam memilih pemimpin yang betul kerana rakyat juga yang bertanggungjawab dalam memastikan keadilan dalam sistem pemerintahan,” katanya kepada HarakahDaily.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa pada masa ini, rakyat sedang menghadapi masalah kewangan akibat daripada setiap krisis kewangan yang berlaku.
“Untuk menghadapi masalah tersebut, rakyat perlu dibantu secara bersasar serta berperingkat jika sekalipun bantuan tidak dapat diberikan secara menyeluruh,” tegasnya.
Mohammad Tawfik berpendapat bahawa kerajaan yang dipilih boleh membantu dalam bentuk pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat yang dibebani dengan hutang yang banyak.
“Antaranya adalah dengan mencampur tangan dalam memanjangkan tempoh pinjaman sedia ada bagi rakyat yang terkesan dan penurunan cukai kepada kumpulan sasaran seperti peniaga kecil dan pembaharuan lesen perniagaan percuma.
“Ini dapat membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan benar-benar sanggup bersusah senang dan bersifat adil tanpa mengira agama dan bangsa,” ujarnya.
Beliau turut memberi nasihat kepada mana-mana kerajaan yang dipilih agar tidak menggalakkan rakyat berhutang dalam menyelesaikan apa jua masalah.
“Ini kerana kalau peluang untuk berhutang terus dibuka,ini merupakan jalan pintas untuk menyelesaikan masalah yang singkat tetapi akan mewujudkan bebanan yang berpanjangan,” nya. – HARAKAHDAILY 11/5/2023




















