Isu air: PAIP di ambang kemuflisan? Salah siapa?

- Advertisement -

PAIP merupakan anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Pahang hasil pengkorporatan JBA Pahang seiring dengan dasar penswastaan yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri ke-4.

Setelah 11 tahun PAIP beroperasi sebagai operator bekalan air untuk Negeri Pahang, pihak Pemuda PAS Pahang melihat masalah air di Negeri Pahang masih belum menemui jalan penyelesaiannya.

Penduduk kebanyakan tempat, rata-rata merintih meluahkan kekesalan mengenai isu air yang tidak pernah selesai sementelah kerajaan yang memimpin Pahang hari ini sudah lebih 60 tahun memegang tampuk Menteri Besar.

Adakah isu hutang PAIP yang agak ketara ini menjadi antara punca utama kepada masalah air di Pahang yang belum berkesudahan?

Jika diamati laporan audit bermula dari 2019 sehingga 2021 sahaja, hutang PAIP telah mencecah RM936,643,068 yang mana RM860,462,142 adalah merupakan pemiutang dagangan. 

Bagi berlaku adil kepada YAB Menteri Besar hari ini, kita melihat hutang PAIP yang telah diaudit pada 2019 berjumlah RM630,392,796 yang mana sebanyak RM560,771,731 adalah pemiutang dagangan.

Kita menyaksikan berlaku kenaikan ketara hutang terutama kepada pemiutang dagangan dalam tempoh 3 tahun sebanyak RM299,690,441.

Sehubungan itu, pihak kami ingin mempersoalkan adakah disebabkan hutang yang sebegini banyak menjadi punca utama menyebabkan masalah air di Pahang tidak selesai?

Ke mana perginya sejumlah berbilion-bilion yang diperuntukkan untuk penyelesaian masalah air di Pahang?

Kenapa berlakunya begitu banyak hutang yang ditanggung PAIP sehingga tabungan kepada Pemegang Taruh PAIP iaitu Kerajaan Negeri Pahang setakat laporan beraudit 2021 adalah negatif RM774,642,635? Hal ini bermaksud pemegang taruh telah merekodkan kerugian atas pelaburan.

Ini salah siapa? Siapa yang sepatutnya bertanggungjawab? Adakah ini punca utama kepada masalah air Pahang yang tidak berkesudahan dan akhirnya rakyat menjadi mangsa?

AHMAD AZLAN ABU BAKAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS 
Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 5/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -