
RANTAU PANJANG: Paras air Sungai Golok semakin cetek sehingga kelihatan pasir yang timbul di permukaan sungai berkenaan susulan cuaca panas melampau di Kelantan pada ketika ini.
Tinjauan Harakahdaily di sepanjang Sungai Golok pada hari ini, Jumaat (28 April) mendapati beberapa kawasan kedalaman sungai sekitar 0.2 sehingga 0.5 meter.
Seorang penduduk Roslan Deraman, 42, berkata, fenomena seperti sering berlaku setiap tahun pada Jun dan Julai, namun kali ini ia berlaku lebih awal sejak akhir Ramadan.
Menurutnya, ketiadaan hujan di hulu Sungai Golok menyebabkan aliran sungai semakin sempit dan cetek serta ‘timbul’ pasir di tengah-tengah sungai. Ia adalah susulan pasir dasar sungai yang telah kelihatan disebabkan air sungai yang semakin cetek itu.
“Disebabkan sungai cetek ramai penduduk tempatan mengambil peluang mandi manda bersama rakan-rakan dan keluarga,” katanya berkata ketika ditemui HarakahDaily di sini.
Nik Abdullah Nik Omar, 18, pula berkata, dia tidak melepaskan peluang mandi-manda bersama keluarga, di samping mencari etak di dasar sungai tersebut.
Katanya, dia datang pada awal pagi bersama keluarga untuk mandi di sungai itu kerana paras air cetek dan ia tidak membahayakan.

Ketika tinjauan HarakahDaily itu juga, didapati ada penduduk mencari etak termasuk menggunakan penutup kipas bagi memudahkan mereka mengaut etak di dasar sungai.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan keadaan cuaca panas berlaku terutamanya di Semenanjung Malaysia dan berlaku peningkatan suhu antara 35 hingga 37 darjah celcius.
Bagaimanapun, berapa tempat di Kelantan termasuk Kota Bharu berlaku hujan dua hari berturut-turut biarpun tidak lama.
Semalam, Khamis (27 April) kedengaran guruh kuat kemudian diikuti hujan; manakala pada Selasa lalu, (25 April), hujan agak lebat melanda di Kusial dan Jerangau di Tanah Merah. – HARAKAHDAILY 28/4/2023




















